Sunday, September 9, 2012

Sambut Ketibaan Cahaya Mata, Azizulhasni Tidak Sertai Siri Piala Dunia


Jaguh berbasikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang sanggup berkorban dengan tidak menyertai Siri Piala Dunia Klasik di Cali, Oktober ini demi menyambut ketibaan cahaya mata pertamanya.

Katanya, selain mahu menyambut ketibaan orang baru, dia juga mahu memberi peluang kepada pelumba muda untuk mewakili negara pada kejohanan besar di Cali.

Tambah Azizulhasni, isterinya dijadual bersalin pada awal November ini dan hanya selepas itu dia akan kembali menyertai latihan bersama rakan-rakan lain di Melbourne, Australia pada Disember.

Selain menjalani latihan di sini saya juga mahu berada di samping isteri bagi menyambut kelahiran anak pertama, malah saya dan isteri juga telah menyenaraikan nama-nama yang sesuai untuk anak kami yang bakal lahir nanti.

Saya juga tidak mahu terlalu fokus pada Piala Dunia kerana tumpuan saya ketika lebih kepada Sukan Asia dan Komanwel yang akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan kecemerlangan atlet negara oleh pengeluar jam ternama, Oris, semalam.

Azizulhasni pernah menjadi pemenang keseluruhan Piala Dunia dalam acara keirin pada 2008-2009 dengan meraih dua pingat emas.

Sementara itu, Azizulhasni turut meluahkan rasa gembiranya apabila mengetahui bekas rakan sepasukannya dalam acara pecut berpasukan, Mohd. Rizal Tisin bakal menyertai pasukan trek negara.

Kata Azizulhasni, melalui gandingan bersama Rizal kekuatan pasukan akan bertambah selain mampu memberikan cabaran yang lebih hebat kepada pasukan lawan.

Saya amat mengalu-alukan jika Rizal ingin kembali menyertai kami untuk mencipta kecemerlangan bersama buat negara.

Memang saya nantikan Rizal kembali menyertai acara trek kerana ia akan menjadikan latihan kami lebih baik," kata Azizulhasni.

No comments:

Post a Comment