Saturday, September 22, 2012

Tengku Abdullah Percaya Butler ‘Telah Jalankan Tanggungjawabnya’


"Perbuatan jurulatih kelahiran England itu mengeluarkan kenyataan berhubung tuduhan salah laku dua pemain Terengganu membawa balik perempuan ke bilik tempat mereka menginap ketika berada di Kedah pada 1 September lalu tidak lari dari skop tugasannya...Jurulatih tersebut telah membuat sekadar mampu dan menyatakan apa yang sebenar. Namun, jika itu didapati bersalah, mungkin sukar untuk mencari jurulatih lain yang dapat bertindak sedemikian."
- Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia untuk mengkaji keputusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhubung hukuman gantung terhadap jurulatih, Peter Butler.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kajian semula itu hanya akan dilakukan sekiranya Butler membuat rayuan kepada badan bola sepak induk.

“PBSNT mempunyai kuasa untuk membuat keputusan yang dirasakan terbaik buat pasukan dan itu adalah hak mereka.

“Namun, keputusan tersebut pasti ada implikasi dan mungkin Butler akan membuat rayuan. Sekiranya telah menerima surat rayuan tersebut, kami akan perhalusi,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor di Johor Bahru, hari ini.

Semalam, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pengendali Terengganu itu boleh merujuk kepada badan induk bola negara itu andai tidak puas hati berhubung hukumannya.

“Beliau harus diberi peluang oleh persatuan untuk merayu dalam tempoh tertentu. Namun andai selepas itu masih tidak puas hati barulah boleh merujuk kepada FAM menerusi Jawatankuasa Status yang diketuai Datuk Takiyuddin Hassan,” katanya.

Menurut Hamidin, pengendali bangsa Inggeris itu boleh membawa ke mahkamah timbang tara.

Butler sebelum ini digantung enam bulan, denda RM4,OOO dan dipotong 15 peratus gaji bulan depan kerana membuat kenyataan kepada media mengenai masalah disiplin dua pemain dan insiden menolak penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Namun situasi makin mengelirukan apabila kontrak Butler mungkin ditamatkan berikutan syarat yang menyatakan beliau tidak boleh dikenakan hukuman gantung melebihi sebulan.

Tengku Abdullah yang juga Presiden Persekutuan Hoki Malaysia juga menasihatkan mana-mana pihak agar tidak beremosi dan cepat menjatuhkan hukuman dan percaya Butler telah menjalankan tanggungjawabnya.

Katanya, perbuatan jurulatih kelahiran England itu mengeluarkan kenyataan berhubung tuduhan salah laku dua pemain Terengganu membawa balik perempuan ke bilik tempat mereka menginap ketika berada di Kedah pada 1 September lalu tidak lari dari skop tugasannya.

 “Jurulatih tersebut telah membuat sekadar mampu dan menyatakan apa yang sebenar. Namun, jika itu didapati bersalah, mungkin sukar untuk mencari jurulatih lain yang dapat bertindak sedemikian,"katanya.

Pada 17 September lalu, PBSNT memutuskan Butler digantung enam bulan dan didenda RM4,000 berikutan kenyataan berhubung tuduhan salah laku dua pemain skuad Penyu.

Butler didapati bersalah mengeluarkan kenyataan tersebut dengan menuduh Mohd Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha'ari melakukan kesalahan itu tanpa melaporkan kepada PBSNT.

Selain digantung, kontrak Butler berkemungkinan terbatal secara automatik kerana mengikut peraturan FAM, pemain dan pegawai akan terbatal kontrak jika digantung lebih 30 hari.

Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah berkata, FAM akan mengekalkan syarat dengan hanya dua pemain import dibenarkan beraksi dalam satu pasukan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Katanya, FAM harus berlaku adil kerana bukan semua pasukan mampu untuk membayar sehingga tiga pemain import.

“Tambahan pula, kami tidak mahu sebarang masalah yang timbul kerana sebelum ini pernah terjadi isu apabila gaji pemain import tertunggak. Buat masa ini, biarlah kita kekal dengan dua pemain import sahaja,” katanya

Sinar Harian

1 comment:

  1. bebudak Tgaanu ni semua komplot jatuhkan mat salleh ni..bebudak ni kasi Tgannu kalah ketua nya penjaga gol..badan gatal lah, kemudian tolak bola masuk..semua perbuatan bodoh..aku ingat jangan dilayan bebudak2 ni dan jangan ambik jadi pemain Kbangsaan ..ada pemain yg baik dan berdisiplin lagi dari bebudak tu

    ReplyDelete