Friday, September 7, 2012

Ustaz Azhar Tidak Mahu Bertanding Pilihan Raya Walau Atas Tiket PAS


Penceramah bebas, Azhar Idrus yang kini sebagai sandaran Pas memeriahkan ceramah politik parti itu menolak menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pesuruhjaya Pas negeri, Abdul Wahid Endut berkata, beliau difahamkan Azhar enggan terlibat secara langsung dalam politik kerana mahu terus berdakwah dengan cara sendiri

“Beliau merupakan ikon khususnya di kalangan generasi muda, jika beliau berada di platform kita, ia sesuatu yang baik, tetapi awal-awal lagi beliau sudah menolak.

“Difahamkan, beliau menolak sebelum kami sempat membuat penelitian, lagi pun nama beliau tidak dikemukakan secara rasmi, cuma disebut-sebut di kalangan ahli parti," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan Pas negeri di Kuala Terengganu semalam.

Wahid berkata PAS Terengganu mungkin meletakkan calon wanita pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), setelah tidak menurunkan calon wanita sejak 1959.

Katanya, PAS mahu meletakkan calon wanita pada pilihan raya kali ini bagi memastikan kumpulan itu turut diwakili di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kita sedang beri perhatian khusus. Dewan Muslimat PAS Pusat juga telah meminta ada calon wanita di negeri ini. Sama ada Parlimen atau DUN kita tengok dulu," katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Kali terakhir PAS Terengganu menurunkan calon wanita ialah pada pilihan raya Parlimen 1959 dengan meletakkan Khadijah Mohd Sidek bagi merebut kerusi Parlimen Dungun. Khadijah mengalahkan Wan Salleh Abdul Kadir mewakili Front Sosialis dan Mohamed Adib Omar daripada Parti Perikatan, dan merupakan Anggota Parlimen wanita pertama PAS, dan wakil rakyat wanita pertama bagi Terengganu.

Menyentuh mengenai pembahagian kerusi antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat di negeri ini, beliau berkata ia sudah selesai kecuali pembahagian 'satu atau dua' kerusi dan "kita tunggu keputusan daripada pusat."

Menyentuh mengenai DAP yang berhasrat bertanding di negeri ini, Abdul Wahid berkata walaupun parti itu menyatakan hasrat mereka, namun ia ditolak secara baik oleh PAS.

Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen. Pada PRU tahun 2008, calon PKR bertanding di lima kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen manakala selebihnya ditandingi PAS.

Mengulas mengenai Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah yang diuar-uarkan akan bertanding pada PRU-13 di negeri ini, beliau berkata sama ada PAS akan menawarkan beliau bertanding sebagai calon PAS, masih belum dibincangkan.

Sementara itu, Raja Kamarul Bahrin Shah ketika ditemui pemberita di majlis itu berkata beliau bersedia untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, namun menegaskan tugasnya dalam Amanah menjadi keutamaan.

No comments:

Post a Comment