Tuesday, September 11, 2012

YIT Cadang Bina Tiga Tadika Bernilai Lebih RM3 Juta

Yayasan Islam Terengganu (YIT) bercadang membina tiga bangunan tadika bernilai lebih RM3 juta setiap satu dalam usaha memberikan pendidikan awal kepada anak-anak negeri itu.

Pengarah YIT, Md Kamarul Al-Amin Ismail berkata tadika yang bakal memuatkan 400 murid setiap satu itu akan dibina di Losong serta Gong Badak di Kuala Terengganu dan di Setiu.

"Sehingga sekarang YIT mempunyai 18 buah tadika, 13 daripadanya bangunan sendiri. "Kami harap bangunan baharu ini dapat menampung kemasukan lebih ramai kanak-kanak ke kelas tadika tahun depan," katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri YIT di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata dalam masa yang sama juga YIT akan memperkemas dan menaiktaraf bangunan tadika yang lama bagi memberikan persekitaran pembelajaran yang selesa kepada pelajarnya.

"Tadika YIT mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan ibu bapa di Terengganu kerana mutu pelajarannya yang begitu ke depan terutama dalam bidang agama Islam," katanya.

Sementara itu, Md Kamarul berkata YIT akan mengadakan dua majlis khatam Al-Quran membabitkan lebih 30,000 orang pelajar kelas Kafa dan Tadika pada 20 dan 23 Okt, depan.

"Seramai 22,000 orang pelajar tadika akan terlibat manakala selebihnya pelajar Kafa. Ini merupakan sambutan yang amat memberangsangkan berbanding 22,000 orang tahun lepas.

"Ia menepati hasrat Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said memastikan 30,000 anak Terengganu boleh khatam Al-Quran sebelum ke tingkatan satu," katanya.

No comments:

Post a Comment