Monday, October 29, 2012

7,459 Peneroka Terengganu Dapat Dividen RM2.6 Juta

Isa menyerahkan replika cek kepada Ketua Peneroka Felda Chalok Barat, Wan Mohd. Nawi Awang (kiri) pada majlis korban dan Penyampaian Dividen FGVH di Felda Chalok Barat, Setiu semalam.

Seramai 7,459 peserta Felda Wilayah Terengganu menerima dividen Felda Global Venture Holdings (FGVH) bernilai lebih RM2.6 juta daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Setiu semalam.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, setiap peserta akan menerima RM365 seorang. "Pemberian dividen ini menggambarkan Felda sentiasa prihatin terhadap nasib peneroka di Terengganu," katanya

Beliau menyatakannya selepas majlis penyampaian dividen berkenaan dan korban sempena Hari Raya Aidiladha di Felda Chalok Barat di Setiu.

Turut hadir, Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad dan Pengurus Besar Wilayah Terengganu, Abdul Malik Abdul Rani. Mohd. Isa berkata, tahun ini,

Felda membelanjakan RM45 juta untuk membayar dividen FGVH kepada seramai 112,635 orang peneroka di seluruh negara.

Seorang peserta, Tengku Heng Ku Besar, 45, berkata, penyerahan cek dividen FGVH itu membuktikan Felda benar-benar jujur dan sekali gus menolak dakyah pembangkang.

Bagi ketua peneroka Felda Wilayah Terengganu, Mansor Mamat, 36, peneroka tidak harus mendengar hasutan pembangkang sebaliknya harus terus bekerja untuk generasi akan datang dan bersyukur kerana berada di tahap sekarang.

No comments:

Post a Comment