Friday, October 26, 2012
Jabatan Pelajaran Negeri Hargai Jalinan Strategik Dengan Kerajaan Negeri
Jalinan rangkaian strategik pendidikan antara Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dengan Kerajaan Terengganu melalui Program Pendidikan Anjung Ilmu (PPAI) membuahkan hasil yang amat membanggakan. Hubungan baik itu membolehkan Terengganu meraih kejayaan demi kejayaan dalam peperiksaan awam, aktiviti kurikulum, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid.
Pengarah JPNT, Encik Zakaria Hussin, berkata pihaknya ingin berkongsi kejayaan berkenaan melalui penganjuran Karnival Pendidikan Terengganu yang merupakan acara tahunan JPNT dengan kerjasama kerajaan negeri yang sebelum ini dikenali dengan nama Ekspo Pendidikan Negeri Terengganu.
Beliau seterusnya mengambil peluang mengucapkan penghargaan kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Haji Ahmad Said dan Datuk Ahmad Razif kerana memberi kerjasama yang erat dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada usaha menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.
Menurutnya, pelbagai bentuk sumbangan, dana dan kepakaran yang telah, sedang dan akan diberikan oleh kerajaan negeri dalam usaha memastikan warga pendidikan di Terengganu lebih bersemangat untuk merealisasikan agenda besar transformasi negara ke arah menuju Negara Maju menjelang 2020.
“Ini merupakan tahun kedua kita menjenamakannya semula dengan nama Karnival Pendidikan Terengganu.
“Malah, sejajar dengan hasrat dan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Transformasi Pendidikan Negara serta `Amalan Guru Penyayang’, usaha memberi penghargaan kepada murid-murid, guru-guru dan pengurusan sekolah yang berjaya menunjukkan prestasi terbilang dalam semua bidang pendidikan, diterjemahkan secara kolektif dalam karnival ini,” katanya di program Karnival Pendidikan Terengganu 2012, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, kelmarin (23 Oktober). Turut hadir, Ahmad Razif Abd Rahman.
Zakaria berkata, pelaksanaan karnival ini berkonsepkan pengiktirafan dan penghargaan kepada murid, guru dan pengurusan sekolah kerana kejayaan mencipta pelbagai kejayaan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum serta mengharumkan nama Terengganu, di persada kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau berkata, pihaknya menyahut usaha dan cabaran peningkatan kualiti sistem pendidikan kebangsan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 sebagai prasyarat utama memacu kemajuan Negara.
Katanya, matlamat akhir pendidikan iaitu peningkatan `kemenjadian murid’ yang memerlukan semua warga pendidik melipatgandakan usaha melalui pelbagai anjakan dan aspirasi.
“Karnival ini diharapkan berupaya menyerlahkan potensi, meningkatkan penghormatan diri, daya fikir dan daya juang ke arah merealisasikan pembinaan watak murid yang seimbang dan harmonis sebagaimana hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Sebenarnya pendidikan berdepan dengan tugas besar untuk merealisasikan hasrat pembentukan modal insan aras tinggi.
Warga pendidik yang menggelarkan dirinya profesional, bertanggungjawab menggalas agenda transformasi negara, memikirkan cara bagaimana menterjemahkannya dalam medan pendidikan yang diamanahkan kepada kita, dengan ikhtiar yang paling strategik, dengan kaedah yang paling inovatif dan dengan pendekatan yang paling berkesan,” katanya.
No comments:
Post a Comment