Tuesday, October 23, 2012

Juara Piala Tun Razak 2012 - Terengganu Ke Arah Kuasa Baru Hoki Negara

Pasukan Terengganu meraikan kejayaan mereka dengan menjuarai Divesyen 1 kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-50 di Stadium Hoki Kuantan, Pahang, malam Isnin.
Selepas penantian setengah abad, Terengganu akhirnya muncul juara Kejohanan Hoki Piala Tun Razak edisi ke-50 apabila menang bergaya dengan menumpaskan tuan rumah Pahang 3-0 sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000.

Kemenangan ini dikecapi selepas menjadi juara hoki lelaki pada Sukan Sukma ke 15 juga di Pahang.

Penyokong dan pemain hoki Terengganu menjulang Ketua Kontinjen Terengganu, Wan Zawawi Wan Ismail selepas menguasai emas kategori Lelaki dan Wanita Sukma ke-15.

Apakah selepas ini Terengganu akan melangkah panjang untuk menjadi kuasa baru hoki lelaki negara?
di Pahang?


Pada 26 September lalu,  Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata Terengganu akan membentuk pasukan negeri yang kuat  dibarisi pemain muda bagi persiapan menyertai Liga Hoki Kebangsaan, mulai tahun depan.

Skuad hoki tersebut akan dikendalikan Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) dengan memperoleh dana daripada kerajaan negeri. PHNT bertanggungjawab mengatur segala persiapan skuad hoki tersebut termasuk aspek mengumpulkan pemain berbakat dan mencari jurulatih berkaliber.

"Kita akan kumpul pemain-pemain hoki Terengganu mulai sekarang untuk menyertai Liga Hoki Kebangsaan tahun depan. Bagi mencapai hasrat ini, kita akan mula daftarkan pasukan tahun ini juga," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman.


Ahmad Said berkata, sudah tiba masanya Terengganu mempunyai pasukan hoki sendiri memandangkan ia mempunyai ramai pemain berbakat yang berjaya mencipta nama dalam kejohanan tempatan mahupun antarabangsa.

Namun, pencapaian semalam membuktikan sebelum pun pasukan hoki negeri ditubuhkan secara rasmi,  Terengganu sudah melakar kejayaan yang sangat membanggakan.

Malam semalam, Terengganu bermula garang apabila menjaringkan gol seawal minit pertama hasil jaringan padang Mohd Firhan Asha'ri.

Pahang yang mendapat tiga pukulan sudut penalti pada separuh masa pertama pula gagal memanfaatkan peluang itu selepas penjaga gol lawan Muhammad Hafizuddin Othman berjaya menepis kesemua pukulan itu.

Separuh masa kedua menyaksikan asakan bertubi-tubi oleh kedua-dua pasukan sebelum Terengganu berjaya menyumbat gol kedua menerusi jaringan cantik Faizal Saari pada minit ke-41 hasil hantaran silang Mohd Fitri Shaari di sudut kanan pintu gol.

Pasukan Terengganu terus meninggalkan Pahang apabila jaringan Mohd Fitri Saari pada minit ke-50 gagal ditepis penjaga gol Khairul Nizam Ibrahim.

Juara tahun lalu, Kuala Lumpur hanya mampu menduduki tempat ketiga apabila membenam Negeri Sembilan 8-4. Gol Kuala Lumpur dijaringkan oleh Chua Boon Huat (minit ke-3, 8 dan 20), Muhammad Razie Abd Rahim (minit ke-34, 40, 44 dan 56) dan Mohd Shamim Mohd Yusoff minit ke-57.

Negeri Sembilan pula mendapat gol hasil jaringan Dangerous Lee (minit ke-35, 49 dan 52) dan Muhd Ikhwan Ishak pada minit ke-70.

Sementara itu, pada perlawanan akhir Divisyen 2 menyaksikan Melaka muncul juara selepas menang tipis ke atas Selangor dengan jaringan 5-4. Gol Melaka dijaringkan Mohd Hafizuddin Md Desa (minit ke-13 dan 43), Amirullah Zainol (minit ke-23, 54 dan 63), manakala gol Selangor pula dijaringkan Muhammad Noor Faeez Ibrahim (minit ke-2), Muhammad Amirrullah Abdul Aziz (minit ke-10) dan Mohd Redza Maadun (minit ke-30).

Sabtu lalu, pada perlawanan separuh akhir, dua negeri Pantai Timur itu layak ke perlawanan akhir Divisyen 1, selepas berjaya menewaskan lawan masing-masing apabila tuan rumah, Pahang berjaya menewaskan Negeri Sembilan 3-2 manakala Terengganu menewaskan juara bertahan, Kuala Lumpur 2-1.

Perlawanan Pahang dengan Negeri Sembilan menyaksikan, tuan rumah dikejutkan dengan jaringan pembukaan oleh Negeri Sembilan hasil pukulan penalti yang disempurnakan oleh S. Kuhan pada minit ke-11.

Namun, Pahang berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-25 melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Hairul Nizam Abdul Rani.

Asakan bertali arus barisan pemain Pahang terus berjaya membuahkan hasil dengan jaringan padang oleh Mohd Sybrie Shamsuddin minit ke-52 sebelum Hairul Nizam sekali lagi membantu melengkapkan jaringan ketiga Pahang pada minit ke-65 hasil jaringan padang.

Kemudian Negeri Sembilan cuba mengejar dengan menambah jaringan hasil daripada pukulan sudut penalti oleh S. Kuhan pada minit ke-70 namun tiupan wisel penamat menghentikan saingan yang berkesudahan Pahang 3 Negeri Sembilan 2.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Terengganu pula mengejutkan juara bertahan Kuala Lumpur dengan jaringan pembukaan pada minit ke-30 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Faizal Saari.

Tersentak dengan jaringan berkenaan pemain Kuala Lumpur kembali bersemangat setelah berjaya menghasilkan gol penyamaan melalui pukulan sudut penalti oleh Mohd Yazid Yusof minit ke-50.

Bagaimanapun kelincahan pemain Terengganu membantutkan hasrat Kuala Lumpur untuk mempertahankan kejuaraan selepas gawang Kuala Lumpur berjaya dibolosi dengan jaringan penyudah oleh Mohd Fitri Saari pada minit ke-60.

Sementara itu, dalam perlawanan penentuan kelayakan tempat kelima hingga lapan Divisyen 1 pula menyaksikan Perak berjaya menewaskan Pulau Pinang 5-2 manakala Johor menewaskan ATM 8-1.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang turut berangkat untuk menyaksikan pertandingan itu berkenan menyampaikan piala dan medal kepada pemenang-pemenang tersebut.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Rozi Mamat turut hadir bagi memberi semangat dan sokongan moral kepada pemain.

No comments:

Post a Comment