Tuesday, October 23, 2012

Liow - Malaysia Patut Wujud Rumah Persaraan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini menyentuh mengenai perlunya diwujudkan rumah persaraan atau pusat jagaan dan menyediakan perkhidmatan berkaitan berikutan jumlah warga tua di negara ini semakin meningkat.

Beliau berkata, menjelang 2020, 10 peratus daripada populasi Malaysia akan dianggap sudah tua (60 tahun dan ke atas), dan ini akan meningkat kepada 20 peratus menjelang 2050.

"Kita perlukan lebih banyak rumah persaraan, rumah jagaan, pusat jagaan bergerak dan perkhidmatan sokongan kesihatan dan kecergasan yang lain untuk warga tua kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Penjagaan Kesihatan 2012 anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli), di Petaling Jaya.

Mengenai kenaikan harga rokok sebanyak 20 sen berkuat kuasa hari ini, beliau berkata, faktor harga adalah satu daripada langkah efektif untuk mengurangkan perokok, terutamanya di kalangan belia.

Beliau berkata, ini kerana mereka akan menganggap rokok adalah barangan mewah berdasarkan harganya yang mahal. "Kementerian sentiasa menyokong langkah seumpama itu kerana apabila harga rokok meningkat, ia akan membantu mengurangkan jumlah perokok di dalam negara," katanya.

Bertema 'Dunia Baharu Penjagaan Kesihatan - Peningkatan Pelanggan Penjagaan Kesihatan dan Peluang bagi Malaysia', forum sehari itu menarik penyertaan golongan profesional dan pemegang amanah yang mahu tahu lebih banyak mengenai industri penjagaan kesihatan Malaysia.

No comments:

Post a Comment