Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan akan memberi imbuhan kepada pasukan itu yang mencipta sejarah muncul juara buat kali pertama dan berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000.
"Kita akan memberi penghargaan sebagai pengiktirafan di atas kejayaan manis pasukan itu.
Namun jumlah imbuhan yang akan diberi, akan diputuskn pada mesyuarat Exco esok," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media selepas Karnival pendidikan Terengganu, di Stadium Negeri di Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi & Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Zakaria Husin.
Menteri Besar itu ternyata gembira dengan prestasi dan kesungguhan pemain muda hoki negeri yang berjaya menempah tiket ke final sekali gus membenam pasukan tuan rumah dengan jaringan tiga tanpa balas.
Katanya kerajaan negeri berjanji untuk memberi hadiah setimpal dengan keringat dan usaha yang dipamerkan atlet berkenaan sehingga mendapat kejuaraan buat pertama kali sejak kejohanan itu dipertandingkan 50 tahun lalu.
Ahmad Said berkata dengan kemenangan itu, ia akan menyemarakkan lagi Terengganu yang merangka untuk menubuhkan sebuah pasukan hoki negerinya sendiri pada tahun hadapan.
Katanya ramai pemain hoki negeri itu yang kini sedang bermain dengan pasukan kelab seperti TNB, Maybank dan lain-lain di seluruh negara.
"Kita akan pelawa pemain-pemain itu untuk kembali ke negeri ini untuk memperkuatkan pasukan Terengganu apabila ia ditubuhkan tahun hadapan," katanya.
No comments:
Post a Comment