Laporan di Teganuku Mengenai Samseng Tetak Guru di Besut semalam. |
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K. Manoharan berkata, semua suspek dipercayai menyerang dan memukul sehingga mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.
"Kita memandang serius perkara ini walaupun serangan yang mereka lakukan hanya disebabkan cemburu, menunjukkan isyarat lucah dan gagal membayar hutang," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu, semalam.
Katanya, polis tidak boleh bertolak ansur dengan perbuatan suspek yang tidak menghormati undang-undang. Mereka yang diburu itu termasuk seorang kontraktor, Che Wan Sharmizie Che Wan Mat, 29, dari Kampung Baru Bukit Tumbuh, Besut bagi membantu siasatan serangan ke atas seorang guru lelaki berusia 35 tahun kelmarin.
"Kita telah membuat serbuan di rumah suspek, namun gagal mengesan suspek dan dipercayai suspek telah melarikan diri dan masih bersembunyi di sekitar Besut," katanya.
Dalam kes serangan pada hari Selasa di hadapan Maktab Perguruan Sultan Mizan, Besut itu, guru tersebut cedera di belakang badan, tangan kanan dan kaki kiri akibat ditetak dengan parang oleh dua lelaki bertopeng dipercayai kerana cemburu.
Selain itu, polis juga menjejaki tiga beradik bagi membantu siasatan seorang lelaki diserang selepas mangsa menegur dan menampar kanak-kanak yang membuat bising di dalam masjid. Anuar, Azizan dan Afizol Awang yang berusia antara 39 dan 45 tahun itu dipercayai bersembunyi selepas menyedari mereka dikehendaki polis, kata Manoharan.
Dua lagi yang diburu polis ialah Mohd Amir Che Ya, 24 (kes memberi isyarat lucah) dan Zamri Husin, 30 (kes tidak bayar hutang). Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai semua suspek agar menghubungi balai polis berdekatan.
No comments:
Post a Comment