Tuesday, October 9, 2012
Presiden FAM Kecewa Terhadap Beberapa Insiden
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah meluahkan rasa kecewa terhadap beberapa insiden yang membayangi kancah bola sepak tempatan.
Antara yang mencetuskan kekecewaan Sultan Ahmad adalah isu penggantungan penggantungan bekas jurulatih Terengganu, Peter James Butler yang mendapat perhatian media dengan beliau berpendapat ia mampu diselesaikan dengan baik seperti masalah rumah tangga.
“Saya agak kecewa isu ini diperdebat di dada akhbar. Saya ingatkan persatuan negeri dan anggota FAM agar memelihara imej kita sebagai penjaga bola sepak di Malaysia.
Sekali pun masalah Butler adalah hal-ehwal rumah tangga Terengganu, tempiasnya akan terkena kepada FAM,” katanya pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif badan induk bola sepak negara itu, semalam.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar bersikap profesional dan mengurus tadbir persatuan dengan penuh tanggungjawab kerana bakal menanggung aib jika sekadar profesional pada nama bukan pada realiti.
Kes Butler kini dalam proses penelitian FAM dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diminta memberikan beberapa dokumen yang diperlukan sebelum Jumaat ini bagi diteliti Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abd Razak namun penggantungan terbabit mendapat liputan meluas media tempatan serta antarabangsa.
Sultan Ahmad meluahkan kekecewaannya terhadap kelakuan segelintir penyokong dengan insiden membaling botol, pergaduhan, membaling mercun dan kadang kala membawa sepanduk memperlekehkan pegawai persatuan kerap berlaku.
“Jadi saya berharap ahli dan persatuan negeri dapat menjalin kerjasama yang lebih rapat dengan kelab penyokong dan menasihatkan mereka akan lebih berhemah dalam memberi sokongan kepada pasukan. Kita sedar bola sepak mencetuskan emosi tetapi ia perlu dikawal,” katanya.
Sultan Ahmad turut menyentuh mengenai panggilan pemain untuk menyertai skuad kebangsaan dengan menyatakan ia adalah satu kewajipan yang perlu disahut pemain.
“Adalah wajar pemain yang tersenarai oleh jurulatih dilepaskan pasukan negeri terbabit. Kejayaan di Piala AFF (penghujung November) adalah penting dalam memastikan kita berada di landasan yang betul dengan pasukan kebangsaan adalah pembawa imej kepada FAM dan negara,” katanya.
Selain itu pemergian Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat turut mendapat perhatian beliau apabila menyatakan jasa dan legasi ‘Raja Bola’ tidak terhad kepada Selangor, malah pernah menjadi jurulatih skuad kebangsaan dan dianggap seorang yang mementingkan kesempurnaan.
No comments:
Post a Comment