Tuesday, October 23, 2012

Tahap Kesedaran Mengenai Bahaya Barah Payudara Masih Rendah


Tahap kesedaran bahaya penyakit barah payudara dalam kalangan masyarakat termasuk mereka yang berpendidikan tinggi masih rendah sehingga mereka mengetepikan kaedah rawatan moden di hospital.

Pakar Perunding Bedah Payudara & Endokrin, Ketua Jabatan Bedah, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Hussain Mohamad berkata, ramai pesakit yang dikesan tidak mendapat keizinan suami atau ditegah keluarga daripada berbuat demikian.

''Mereka beralih kepada rawatan alternatif (tradisional) yang tidak efektif dalam keadaan sudah terlewat kerana tidak mendapat rawatan yang betul," ujarnya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Kempen Kesedaran Barah Payudara peringkat negeri di Dewan Besar Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) semalam.

Hadir sama, pakar bedah dan juga merangkap Pengerusi Kempen Kesedaran Barah Payudara 2012, Dr. Suraya Baharudin.

Katanya, barah payudara masih merupakan penyakit barah tertinggi yang dihadapi oleh wanita dan berdasarkan statistik rekod kanser di negara ini pada 2003, kadar kematian akibat kanser payudara adalah 31 peratus pangkal rahim 13 peratus dan kanser kolorektal, 10 peratus dan selebihnya penyakit-penyakit lain.

Menurut beliau, pada 2008, kanser payudara meningkat kepada 43%, pangkal rahim tiada peningkatan dan kolorektal kepada 14%. "Ini amat menyedihkan kerana kebanyakan pesakit kita didiagnoskan dengan barah ini setelah berada pada peringkat ketiga atau keempat (tahap akhir) atau 50 peratus dari jumlah pesakit,'' katanya.

Dr. Hussain berkata, secara keseluruhan wanita di negara ini mempunyai risiko 1:20 untuk mendapat kanser ini di sepanjang hayat mereka berbanding di negara Eropah (1:8).

Katanya, risiko meningkat dua kali ganda jika seseorang itu mempunyai ibu atau adik-beradik yang mengidap penyakit kanser, iaitu 1:10, namun risiko meningkat lima kali ganda jika ibu dan adik-beradik perempuan mengidap penyakit atau dua adik-beradik perempuan telah mengidap penyakit kanser (1:4).

''Selain itu, mereka yang paling tinggi berisiko pengidap penyakit tersebut adalah kumpulan berumur 40-49 tahun dan 50-59 tahun.

Mereka yang bersalin anak pertama melebihi usia 35 tahun dan juga mereka yang tidak pernah bersalin juga turut berisiko kecil," ujarnya.

Menurutnya, pesakit yang telah disahkan mengalami kanser pada salah satu payudaranya mempunyai risiko yang tinggi terkena jangkitan yang sama.

"Harapan saya, melalui kempen ini dapat menyedarkan masyarakat tentang kepentingan pengesanan awal serta mendapatkan rawatan yang betul," katanya.

Sempena kempen berkenaan, seramai 264 peserta hadir untuk mengikuti ceramah dan juga menjalani pemeriksaan secara percuma.

Kempen itu memasuki tahun keempat di negeri ini yang digerakkan setiap Oktober bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia.

No comments:

Post a Comment