Sunday, October 21, 2012

Terengganu Paling Banyak Kutip Bahan Kitar Semula


Terengganu merupakan negeri paling banyak mengumpul bahan buangan untuk dikitar semula dalam Program 3R (Reduce, Reuse dan Recyle), kata Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri,  Fatimah Ahmad.

Pencapaian itu kata beliau menunjukkan kesedaran penduduk Terengganu terhadap Program 3R semakin meningkat.

"Kita akan membuka lebih banyak 'outlet' untuk memudahkan orang awam menjual bahan-bahan buangan untuk dikitar semula kerana penjualan bahan-bahan terbuang itu boleh menambah pendapatan penduduk," katanya pada program Go-Green - Ke Arah Alam Sekitar Yang Lestari, di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata ada antara mereka mampu meraih sehingga RM400 sehari, hasil pungutan barang kitar semula dari tong sampah yang terdapat di sekitar bandar raya ini.

Katanya setakat ini PPSPPA membuka dua tempat membeli bahan buangan iaitu di Pasaraya Mydin dan yang terbaharu di Pasar Batu Enam.

Katanya di Pasaraya Mydin, setiap Sabtu sekurang-kurangnya tiga tan barang kitar semula seperti kertas, plastik, tin aluminium dan kaca dijual di situ dengan harga antara RM2.50 dan 25 sen sekilogram bergantung kepada kategori bahan buangan berkenaan.

Fatimah berkata bahan buangan itu bukan sahaja barangan kering, tetapi juga termasuk barangan basah dari dapur atau pasar yang boleh dijadikan baja organik.

 "Kalau kita membudayakan bahan-bahan atau sisa-sisa makanan seperti nasi, kari, sayur-sayuran dan lain-lain, ia boleh dijadikan baja organik yang dikenali sebagai Pengkomposan Takakura Home Method," katanya.

Katanya proses membuat baja organik tidak sukar dan hanya memerlukan tiga bahan iaitu tanah hitam, sekam padi dan habuk kayu yang dicampur dengan sisa berkenaan selama dua atau tiga minggu, untuk menghasilkan baja organik bermutu tiggi.

Beliau berkata berdasarkan kajian Universiti Putra Malaysia, baja organik yang dihasilkan itu merupakan yang terbaik kerana mengandungi nutrien yang tinggi.

"Jadi kita galakkan suri rumah terutamanya, jangan buang bahan atau sisa-sisa dari dapur sesuka hati, kerana ia boleh dijadikan baja pokok yang boleh melestarikan kawasan sekitar kediaman, " katanya.

1 comment:

  1. Di area paka ada x tempat buang sisa kaca?
    Terima kasih.

    ReplyDelete