Sunday, October 28, 2012

Terengganu Sasar Juara Hoki Bawah 14 Tahun

Terengganu berazam menjuarai kejohanan hoki bawah 14 tahun kebangsaan yang akan berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan dari 16 hingga 25 November ini.

Setiausaha Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) Sabri Salleh berkata, selaku naib juara pada kejohanan tahun lalu,

Terengganu yakin berupaya memperbaiki persembahan kali ini.
Sebahagian besar pemain tahun lepas juga masih layak untuk beraksi, katanya semalam.

Sabri berkata harapan juga disandarkan kepada lima pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan seorang dari Sekolah Sukan Bandar Penawar.

Selain itu, 18 pemain daripada projek pembangunan hoki Sekolah Kebangsaan Padang Midin akan dipanggil menjalani latihan bagi memilih pemain yang dapat memantapkan lagi pasukan, katanya.

"Hanya 18 pemain akan disenaraikan untuk membawa cabaran Terengganu ke kejohanan itu dan diharap mereka yang dipanggil menjalani latihan akan mempamer prestasi terbaik," katanya.

Katanya pasukan itu akan dikendali dua jurulatih berpengalaman iaitu Mohd Sabran Mohd Sharif dan Nik Mohd Azwan Nik Mohamad.

Menurut Sabri, Terengganu pernah bergelar juara kejohanan pada 2008 setelah menyingkirkan Singapura. Pada kejohanan tahun lalu Terengganu tunduk kepada Kuala Lumpur pada perlawanan akhir. - Bernama

No comments:

Post a Comment