Friday, October 26, 2012

Terowong Pulau Kambing Siap Disember


Pembinaan terowong bernilai RM2.6 juta yang menghubungkan Pulau Kambing ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin, Bukit Kecil di Kuala Terengganu, dijangka siap menjelang pertengahan Disember ini.

Pengarah Jabatan Kerja Raya Terengganu Shafii Mohamad berkata pembinaan projek yang bermula sejak 12 Mac lepas kini sudah siap kira-kira 70 peratus.

 "Pembinaan terowong ini bertujuan untuk memudahkan dan menjimatkan masa orang ramai serta menjamin keselamatan pelajar sekolah yang sebelum ini terpaksa melalui jalan sesak serta jauh untuk berulang-alik dari rumah ke sekolah.

"Namun, terowong yang berukuran 35 meter panjang dengan ketinggian 3.5 meter ini hanya boleh dilalui oleh kenderaan kecil sahaja iaitu motosikal, kereta, van dan lori kecil sahaja," katanya semalam.

Terowong itu juga dijangka menjadi laluan alternatif kepada penduduk, sekali gus mengelak kesesakan teruk di kawasan tersebut pada waktu puncak.

“Setakat ini kira-kira 70 peratus kerja-kerja pembinaan terowong telah siap dan dijangka boleh digunakan oleh orang ramai dalam masa dua bulan lagi. “Apabila siap sepenuhnya nanti, terowong dua hala yang berukuran panjang 35 meter dan mempunyai ketinggian 3.5 meter ini akan memberi manfaat kepada rakyat Terengganu terutamanya penduduk sekitar,” ujarnya.

Katanya, kenderaan berat tidak boleh melalui terowong ini kerana ianya hanya khusus untuk kenderaan seperti motosikal, kereta, van dan lori-lori kecil sahaja.

“Tujuan utama terowong ini dibina adalah untuk memudahkan, menjimatkan masa orang ramai serta menjamin keselamatan pelajar sekolah yang sebelum ini terpaksa melalui jalan sesak serta jauh untuk berulang alik dari rumah ke sekolah.

“Justeru, dengan adanya terowong ini nanti, pengguna jalan raya dan penduduk sekitar Pulau Kambing dapat jadikan terowong ini sebagai jalan alternatif selain dapat mengelakkan mereka terlibat dengan kesesakan jalan raya terutamanya jika ingin pergi ke kawasan sekitar Sek. Men. Jenis Keb. Chung Hwa Wei Sin,” ujar beliau.

Ekoran projek ini masih belum siap sepenuhnya, Ir Shafii Mohamad turut menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati menggunakan jalan raya di kawasan pembinaan terowong terbabit.

“Di waktu puncak, kebiasaanya jalan tersebut sedikit sesak ekoran kerja-kerja pembinaan terowong masih berjalan, oleh itu saya berharap orang ramai sentiasa berwaspada dan bersabar agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment