Kerajaan Terengganu mengenal pasti 70 penduduk miskin di Pancor Bederu, Setiu untuk menyertai projek ternakan kambing boer yang akan dimulakan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER) Februari depan.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata 30 lagi penduduk dari Projek Perumahan Rakyat Termiskin akan menjalani proses temuduga pada Januari ini sebelum layak menyertai projek itu.
"Projek agropolitan berimpak tinggi itu akan disertai 100 peserta dan dijangka memberi pendapatan kira-kira RM1,000 setiap bulan.
"Projek ini sangat unik kerana ECER turut membina 100 buah rumah untuk didiami 100 penduduk miskin tegar bagi memastikan mereka selesa sepanjang bekerja di ladang itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) di Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir, di semalam.
Projek Agropolitan ternakan kambing boer itu adalah projek sosioekonomi bersepadu hasil inisiatif ECERDC yang bermatlamat membasmi kemiskinan di Pantai Timur.
No comments:
Post a Comment