Tuesday, November 27, 2012

80 Kedai, AKPR1M, Mohd Aawang Tera

Mohamed Awang Tera (lima dari kanan) diiringi Ab. Ghani Harun (enam dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian penerima anugerah Kedai Pilihan Rakyat 1Malaysia Zon Timur di Kuala Terengganu kelmarin.
Sebanyak 263 premis perniagaan dari Pantai Timur dipilih menerima penarafan Anugerah Kedai Pilihan Rakyat 1Malaysia (AKPR1M) pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, 92 adalah premis dari Kelantan, 91 (Pahang) manakala 80 premis dari negeri ini. Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 2,129 premis lain yang dipilih daripada 2,933 pencalonan diterima dari seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, pencalonan dibuat berdasarkan enam kategori iaitu kategori barangan pengguna, makanan, keterampilan, gajet, informasi, pasar raya dan penerima berkumpulan.

Menurut beliau, penarafan setiap calon dibuat berdasarkan undian daripada orang ramai dan panel penilai iaitu masing-masing sebanyak 50 peratus.

"Anugerah ini merupakan satu penanda aras kepada pengguna untuk menilai dan membuat pilihan kedai mana yang terbaik untuk mereka berbelanja," ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian AKPR1M di Kuala Terengganu semalam.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Ab. Ghani Harun; Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) negeri, Rohaimi Abd. Manan serta wakil PPDNKK dari Kelantan dan Pahang.

AKPR1M dahulunya dikenali dengan nama Anugerah Kedai Harga Patut diwujudkan bagi memberikan pengiktirafan kepada para peniaga yang mengutamakan mutu perkhidmatan dan produk, di samping etika perniagaan.

Dalam pada itu, Mohamed berharap anugerah tersebut memberikan suntikan semangat, motivasi kepada penerima, sekali gus menyumbangkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka.

"Para penerima perlu mengekalkan prestasi semasa dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh PPDNKK negeri kerana pemantauan terhadap kedai mereka akan sentiasa dilakukan.

"Jika mereka gagal mengekalkan prestasi dan sebagainya, pihak PPDNKK tidak teragak-agak untuk menarik balik anugerah tersebut," katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment