Menerusi khidmat yang jarang-jarang dilakukannya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu telah membina rumah mangsa kebakaran.
Ini dilakukan ke atas rumah pengusaha bengkel membaiki kereta Saikri Ngah, 40, di Kampung Besut di Kemaman yang rumahnya terbakar 30 Julai lalu.
Rumah yang dibina semula itu bernilai RM33,000 dan mempunyai tiga bilik.
Penyerahan kunci dilakukan hari ini oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera.
"Pembinaan rumah di Lorong 14 Kampung Besut ini merupakan program pertama kita dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman," kata Pengarah Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Salleh Sarbini.
Beliau berkata ia merupakan projek jabatannya di bawah Strategi Lautan Biru seperti yang disaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Jika terus diberi kesempatan dan kepercayaan, kita akan bina lagi rumah seperti ini, kerana kita tidak hanya berkebolehan dalam memadam kebakaran dan kerja-kerja menyelamat, tetapi anggota kita juga mempunyai kepakaran dalam membina rumah," katanya.
Mohamed pula berkata kerajaan negeri memang menyediakan pelbagai tabung bagi membantu rakyat yang ditimpa musibah seperti kebakaran dan ribut.
"Bagi Saikri, dia bernasib baik kerana jabatan bomba membantu membina rumahnya tanpa sebarang bayaran manakala Pejabat Daerah menyedia peruntukan bagi pembinaan rumah berkenaan.
"Ini juga merupakan tanggungjawab sosial jabatan bomba dalam usaha mereka mendekati masyarakat," katanya.
Saikri yang ditemui kemudiannya malahirkan rasa syukur dan berterima kasih di atas keprihatinan semua pihak membantu membina rumahnya.
"Saya tidak menyangka yang rumah saya siap dibina dalam masa yang singkat.
Saya bersama isteri dan tiga orang anak akan segera berpindah ke sini," katanya yang selama ini menumpang di rumah kakak iparnya.
No comments:
Post a Comment