Wednesday, November 14, 2012

Butler LegaKemelut Kontrak Dengan PBSNT Selesai

Kontroversi penamatan kontrak Peter Butler sebagai jurulatih Terengganu menemui penghujungnya kelmarin dan pengendali dari England itu kini bakal menandatangani kontrak sebagai pengurus merangkap jurulatih T-Team dalam tempoh terdekat.

Butler, 46, mengakui lega dan gembira dengan penyelesaian kemelut isunya itu dan sudah bersiap sedia untuk menumpukan sepenuh perhatian mempersiapkan skuad T-Team bagi menghadapi saingan Liga Super 2013.

“Kalau boleh, saya mahu menyelesaikan semua perkara termasuk kontrak baru saya dengan T-Team dan pemilihan pemain baru pasukan dalam masa seminggu ini.

“Saya percaya kita mempunyai masa yang cukup untuk membentuk pasukan yang mampu mencabar mana-mana pasukan dalam saingan musim baru Liga Super nanti,” kata Butler, semalam.

Dalam pada itu, bekas penolong pengurus pasukan, Abdul Rasid Jusoh yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif T-Team yang baru berkata, beberapa pemain ternama termasuk bekas pemain Aston Villa, George Boateng yang tiba di Kuala Lumpur petang semalam, dijangka bakal memperkuatkan barisan pemain kelab itu.

Selain Boateng, pemain kelahiran Lisbon, Portugal, Luis Boa Morte, yang sebelum ini pernah menempa nama di Arsenal, Fulham dan West Ham United dari 1997 hingga tahun lalu, juga menunjukkan minat bermain bersama T-Team.

“Isu pemain yang akan diambil atau dilepaskan dijangka dapat diselesaikan secepat mungkin kerana kami sudah tidak mempunyai banyak masa lagi sebelum tibanya tarikh akhir pendaftaran pemain pada 6 Disember nanti,” kata Rasid

Berita Harian

No comments:

Post a Comment