Friday, November 23, 2012

Ganu D’Art Gallery Pertama Di Terengganu

Abdul Rahim Mohd. Said (kiri) mendengar penerangan mengenai karya Abdullah Sani (kanan) dalam majlis perasmian Ganu D'Art Gallery di Kuala Terengganu, semalam. 
Usaha murni pemilik Ganu D'Art Gallery, Dr Abdullah Sani menubuhkan galeri seni lukis persendirian yang pertama di Terengganu sewajarnya mendapat pujian kerana mampu membantu kerajaan negeri memperluaskan budaya seni kepada masyarakat luar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd. Said berkata, pada masa yang sama, dengan tertubuhnya galeri itu, ia akan menjadi `pembuka jalan' terhadap penubuhan galeri-galeri lain yang berkaitan.

"Galeri ini adalah yang pertama di negeri ini dan saya berbangga dengan usaha yang ditunjukkan oleh pemiliknya, Dr. Abdullah Sani untuk `menghidupkan' galeri ini.

"Aktiviti seni seperti lukisan sebenarnya mempunyai tempat yang khusus di hati masyarakat dan saya harap usaha ini juga dapat mempromosikan Tahun Melawat Terengganu pada tahun depan," katanya selepas merasmikan Ganu D' Art Gallery, di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, semalam

 Galeri berharga kira-kira RM20,000 itu dibina di sebuah premis dua tingkat di Jalan Sultan Sulaiman dan menempatkan hampir 100 karya seni berkonsepkan `modern art' serta `reality art'.

Ia dibuka setiap hari mulai 10 pagi hingga 6 petang dan tiada yuran dikenakan untuk masuk ke situ. Dalam pada itu, Abdullah ketika ditemui berharap galerinya akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pencinta seni lukisan di negeri ini.

Beliau yang juga pensyarah sambilan dalam bidang Reka Bentuk Perindustrian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan berbeza termasuk membawa masuk karya-karya pelukis baru dari semasa ke semasa bagi menarik lebih ramai pengunjung ke galerinya itu.

"Selain itu, galeri ini juga menyediakan karya-karya yang berunsur abstrak dan realiti kepada peminat-peminat seni atau mana-mana usahawan seni yang berminat mendapatkan karya seni kami untuk dipasarkan.

"Kami juga mahu menjadikan galeri ini sebagai pusat penerangan, perbincangan dan perundingan seni lukis memandangkan kebanyakan karya yang dipamerkan di sini berunsurkan seni bina dan landskap negeri Terengganu," ujar beliau .

Tambahnya, satu akademi seni lukis juga akan ditubuhkan di tingkat bawah premis tersebut dan ia akan dikhususkan kepada mana-mana pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berminat untuk mendalami bidang tersebut.

 "Saya juga berharap galeri ini akan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri Terengganu sebagai antara destinasi menarik yang perlu dilawat terutamanya sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 nanti," katanya.

Teganukita

No comments:

Post a Comment