Thursday, November 22, 2012

Bantah Tindakan KAFA - T-Team Kemuka Aduan Kepada FAM

"Zairo Annuar dan Mohd Faiz berhak menyarung jersi Kelantan musim depan berikutan kegagalan T-Team mematuhi perkara melanjutkan kontrak dua pemain itu..."
- Tan Sri Annuar Musa
 
T-Team akan mengemukakan aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menandatangani kontrak dengan dua pemainnya tanpa memaklumkan kelab itu.

Kedua-dua pemain terbabit, Zairo Annuar Zailani dan Mohd Faiz Subri yang masih berbaki kontrak dengan T-Team sehingga 30 November ini, turut diumumkan sebagai pemain baru Kelantan malam kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif T-team, Abdul Rasid Jusoh, berkata pihak pengurusan sedang berbincang dengan peguam sebelum mengemukakan aduan rasmi kepada FAM atau mengambil tindakan undang-undang ke atas KAFA dan pemain terbabit.

Abdul Rasid berkata, dua pemain terbabit masih terikat dengan T-Team sehingga akhir bulan ini dan tindakan KAFA jelas menyalahi peraturan FAM.

“Dua pemain terbabit mengaku menerima wang selepas menandatangani kontrak dengan Kelantan, baru-baru ini.

“Mereka bukan saja mengaku kepada saya malah dengan beberapa pegawai T-Team lain termasuk peguam kami,” katanya semalam.

Abdul Rasid berkata, pihaknya turut mengeluarkan surut tunjuk sebab kepada dua pemain terbabit kerana gagal menjalani latihan kelmarin.

Sementara itu, Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa menafikan dakwaan T-Team yang The Red Warriors memikat Zairo Annuar dan Mohd Faiz secara tidak beretika.

Annuar melalui laman Facebooknya menjelaskan Zairo Annuar dan Mohd Faiz berhak menyarung jersi Kelantan musim depan berikutan kegagalan T-Team mematuhi perkara melanjutkan kontrak dua pemain itu.

Sementara itu,  kelibat enam pemain tonggak skuad T-Team tidak kelihatan apabila pasukan Liga Super itu mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Piala Emas Raja-Raja Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Ab Rashid berkata beliau tidak pasti kenapa enam pemain itu gagal turun walaupun sebelum itu mereka menyertai sesi latihan.

Pemain pemain tersebut ialah penjaga gol Syamsuri Mustapa, Zairo Anuar Zalani, Wan Alif Jasmin, Shahrizal Faizal, Mohd Fais Sobri dan Nor Fazly Alias.

Bagaimanapun, beliau ketika dihubungi semalam berkata pemain berkenaan telah mengikat kontrak bersama pasukan untuk musim depan.

Ab Rashid berkata pemain senior yang masih kekal untuk musim depan ialah Mohd Iqbal Mohd Suhaimi (penjaga gol), Hasbullah Awang, Hasan Basri, Mohd Muinuddin Mokhtar, Azri Hazran Amiludin Baki.

Berita Harian & Bernama

No comments:

Post a Comment