Tuesday, November 13, 2012

Kemaman Bakal Miliki Produk Pelancongan Baru


Kemaman bakal memiliki produk pelancongan baharu apabila projek benteng tebing Sungai Kemaman di bandar Chukai bernilai RM38 juta siap sepenuhnya menjelang Februari tahun depan.

Projek dengan konsep 'waterfront' di kawasan seluas 14.8 hektar itu, apabila siap turut dilengkapi pelbagai kemudahan untuk orang ramai beriadah dan merasai pengalaman menyusuri Sungai Kemaman

 Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kawasan itu akan dilengkapi ruang pejalan kaki sepanjang dua kilometer, surau, tandas, wakaf berehat, kiosk serta kompleks perniagaan, hotel dan resort peranginan yang akan dibangunkan oleh syarikat swasta.

"Ini bakal menjadi daya tarikan terbaharu di Kemaman yang kini terkenal sebagai pusat perindustrian yang pesat membangun. "Kita menjangka dapat menarik pelaburan kira-kira RM38 juta daripada pelabur yang berminat dengan hartanah di sekitar kawasan ini untuk dibangunkan," katanya.

Beliau turut meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya membuat kajian mengenai kos yang diperlukan untuk mendalamkan lagi Sungai Kemaman bagi membolehkan kapal-kapal besar berlabuh di jeti untuk tujuan pelancongan.

 "Seterusnya, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) akan membangunkan kawasan sekitar tebing sebagai pusat komersil untuk aktiviti ekonomi," katanya.

Projek itu yang kini siap 72 peratus akan memacu pertumbuhan ekonomi daerah itu, seterusnya menjadi lokasi menyusuri sungai yang kedua di negeri ini selepas Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment