Saturday, November 10, 2012

Kemelut Dengan Mat Zan Selesai, Tidak Perlu Ungkit Lagi

 

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) enggan mendedahkan jumlah sebenar pampasan yang diterima oleh bekas jurulatih skuad Penyu, Mat Zan Mat Aris.

Sebaliknya, Presidennya, Datuk Che Mat Jusoh menegaskan, jumlah pampasan itu bukan isu utama kerana apa yang lebih penting ialah kemelut yang melanda PBSNT dengan Mat Zan kini telah selesai dan tidak perlu diungkit.

 “Jumlah (pampasan) itu kena tanya dia (Mat Zan) sendiri berapa yang dia akan terima. “Yang penting, kita telah pun selesaikan perkara ini secara baik," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di Kuala Terengganu semalam.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini telah mengarahkan tiga persatuan bola sepak negeri membayar pampasan keseluruhan berjumlah RM120,000 kepada bekas jurulatih mereka yang ditamatkan kontrak lebih awal disebabkan kemerosotan prestasi pasukan.

Selain melibatkan isu PBSNT dan Mat Zan, dua pasukan lain yang turut menerima arahan tersebut ialah Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) kepada Robert Scully dan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) kepada Mohd. Nidzam Adha Yusoff. Dalam pada itu, Mat Zan ketika dihubungi juga enggan mendedahkan jumlah tersebut dengan alasan tidak mahu memanjangkan lagi sengketa dengan bekas majikannya itu.

 “Saya dah dapat (pampasan) tapi tidak sepenuhnya lagi. Berapa jumlah yang saya terima biarlah hanya saya yang tahu," kata jurulatih berpengalaman itu yang kini dikaitkan dengan pasukan Melaka musim depan.

Mat Zan sebelum ini dikatakan mahu menuntut pampasan sebanyak enam bulan gaji daripada PBSNT selepas terpaksa menghadapi kemelut berpanjangan selama hampir lima bulan dengan persatuan tersebut.

Bagaimanapun, PBSNT memutuskan untuk membayar pampasan hanya sebanyak lima bulan gaji kepada bekas jurulatih yang pernah membawa Terengganu menjulang Piala Malaysia pada tahun 2001 itu bagi menyelesaikan masalah tersebut.

No comments:

Post a Comment