Thursday, November 8, 2012

KPDNKK Mahu Tarik Pengusaha Makanan Bukan Melayu Sertai MR1M


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang berusaha menarik minat lebih ramai pengusaha makanan bukan Melayu untuk menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M).

Berdasarkan statistik, Perak mempunyai kedai MR1M paling banyak iaitu 329 buah, diikuti Kedah (325), Selangor (324), Pahang (323), Terengganu (318), Kuala Lumpur (311), Pulau Pinang (205), Kelantan (195), Melaka (142), Johor (131), Sabah (95), Negeri Sembilan (67), Perlis (44), Putrajaya (20) dan Labuan dengan 15 premis.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata majoriti pengusaha MR1M adalah kaum Melayu iaitu 2,541 orang, diikuti India Muslim (238), Cina (101), India (98) dan kaum lain seramai 35 orang. Beliau berkata program MR1M berjaya melepasi sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) dua bulan lebih awal apabila 3,013 premis menyertainya berbanding sasaran 3,000 premis pada akhir tahun ini.


"Pelaksanaan MR1M secara meluas memberi pilihan makanan berkhasiat dan murah kepada semua pengguna dalam usaha menangani kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya kepada pemberita selepas melawat kedai MR1M sempena program tinjauan mesra di Bangunan UTC di kuala Lumpur, semalam.

Selain kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), program MR1M juga mencakupi Hospital Kuala Lumpur, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya serta kantin agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) dan Program Pemodenan Bengkel Automotif (ATOM) juga menunjukkan prestasi membanggakan apabila berjaya melepasi KPI masing-masing.

"KPI bagi program Tukar adalah 500 premis tetapi sehingga kini, 551 premis perniagaan telah menyertainya manakala untuk ATOM, 107 bengkel mengambil bahagian berbanding 50 bengkel yang disasarkan dalam KPI," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga positif dapat melepasi KPI bagi program Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang kekurangan 21 premis untuk mencapai sasaran 85 buah yang ditetapkan sebelum penghujung tahun ini.

No comments:

Post a Comment