Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengenakan had maksimum RM60,000 setahun kepada semua caruman sukarela termasuk caruman di bawah Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia, mulai 1 Januari.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Ibrahim Taib dalam satu kenyataan hari ini berkata, ahli yang mencarum secara sukarela ini boleh mencarum serendah RM50 sebulan
"Caruman sukarela dalam konteks KWSP merujuk kepada caruman diterima daripada golongan bekerja sendiri, pemilik tunggal perniagaan, rakan kongsi atau mereka yang tiada pendapatan tetap bulanan termasuk suri rumah,” katanya.
Menurut beliau, caruman boleh dibayar secara tunai atau cek menggunakan Borang KWSP 6A(1) untuk caruman sukarela dan Borang KWSP 6A(2) bagi Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia.
"Kedua-dua borang tersebut boleh didapati di cawangan KWSP yang terdekat atau boleh dimuat turun dari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my,” katanya.
Maklumat lanjut juga boleh diperoleh dengan menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-8922 6000 atau mengunjungi cawangan KWSP berdekatan.
No comments:
Post a Comment