Friday, November 23, 2012

Manifesto Tidak Ditepati - Lebih 2,000 Ibu Tunggal Di Selangor Tuntut RM10.9 Juta

Sebahagian daripada 2,020 ibu tunggal di Selangor yang memfailkan saman terhadap Kerajaan Selangor dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menuntut tunggakan elaun ibu tunggal yang dijanjikan di dalam Manifesto Pakatan Rakyat di Pilihan Raya Umum 2008 bernilai RM10.9 juta.
"Ibu Tunggal memohon suatu perintah mengkehendaki Kerajaan Negeri Selangor mewujudkan satu skim dikenali sebagai Skim Bantuan Ibu Tunggal Selangor yang mempunyai garis panduan antaranya ialah bayaran elaun minimum adalah RM100 sebulan, mengadakan borang permohonan bayaran elaun ibu tunggal dan kaedah mendapatkan serta memulangkan borang permohonan."

Bersyukurlah wahai ibu tunggal di Terengganu kerana keadaan yang berlaku di Selangor, negeri yang mewar-warkan konon ia ‘negeri berkebajikan’ tidak berlaku di negeri ini.

Semalam, sejumlah 2,020 ibu tunggal memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Selangor menuntut tunggakan RM10.9 juta kerana kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji memberi elaun kepada semua ibu tunggal di Selangor seperti yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

Di Terengganu, walaupun tiada janji khusus dibuat pada Manifesto 2008, sejauh ini kerajaan negeri memperuntukkan belanja yang besar untuk ibu tunggal.


Pada Bajet 2013 yang dijangka dibentangkan 10 Disember nanti, kerjaan negeri berhasrat memperuntukkan RM20 juta.

Ia bertujuan merangka pelbagai program kemahiran perniagaan untuk ibu tunggal seluruh Terengganu supaya golongan itu mampu mengubah taraf kehidupan dan keluar dari garis kemiskinan.

Kerajaan negeri juga berjanji akan menambah bantuan bulanan kepada RM3,000 bagi setiap persatuan ibu tunggal di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.

Ketika ini sebanyak RM2,000 sebulan disalurkan kepada setiap persatuan ibu tunggal dan dengan jaminan kerajaan negeri itu ia akan menjadi M3,000 untuk setiap persatuan berkenaan setiap bulan.

Malah peruntukan bagi ibu tunggal pada tahun 2012dianggarka hampir RM10 juta adalah yang terbesar di negeri Terengganu dan ianya sejajar dengan hasrat murni untuk menjadikannya teras kepada pembangunan agar golongan ibu tunggal mendapat manfaatnya.

Bermula dengan RM 6.7 juta dibelanjakan untuk dana raya ibu tunggal pada tahun 2010, di ikuti dengan peningkatan RM 7.46 juta pada tahun 2011 membuktikan kerajaan negeri Terengganu telah banyak membantu golongan ini supaya dapat hidup dengan selesa di samping pelbagai bantuan dari agensi berkaitan.

Berbanding di Selangor, saman oleh ibu tunggal difailkan oleh Tetuan Kamarudin & Partners di Mahkamah Tinggi di Shah Alam semalam bagi pihak ibu tunggal di Selangor yang diketuai oleh Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor Murtini Kasman.

Mereka menamakan kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP sebagai defendan pertama dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri sebagai defendan kedua.

Dalam saman itu, mereka mendakwa defendan pertama telah berjanji kepada rakyat Selangor termasuk plaintif-plaintif untuk memberi elaun kepada ibu tunggal sekiranya defendan pertama memenangi pilihan raya umum 2008.

Berdasarkan manifesto defendan pertama itu, setiap ibu tunggal di Selangor layak menerima elaun daripada defendan pertama, kata mereka.

Plaintif-plaintif meletakkan setinggi harapan ke atas manifesto defendan pertama sebagai tempat pembelaan kebajikan hidup plaintif melalui elaun yang dijanjikan kepada ibu tunggal tetapi sehingga kini kerajaan negeri gagal mewujudkan satu skim untuk membayar elaun kepada ibu tunggal, kata mereka.

Plaintif-plaintif mendakwa defendan kedua sebagai Ketua Eksekutif kepada defendan pertama telah menyalahgunakan kuasanya apabila tidak mengambil sebarang tindakan untuk memastikan defendan pertama membuat bayaran kepada plaintif dan golongan ibu tunggal di Selangor.

Oleh itu, plaintif-plaintif menuntut sebanyak RM100 sebulan bagi setiap 2,020 ibu tunggal itu bagi tempoh 54 bulan (1 April 2008 hingga 30 Oktober 2012) menjadikan jumlah kesemua tuntutan mencecah RM10.9 juta daripada defendan pertama selain daripada kos.

Plaintif-plaintif juga memohon suatu perintah mengkehendaki defendan pertama mewujudkan satu skim dikenali sebagai Skim Bantuan Ibu Tunggal Selangor yang mempunyai garis panduan antaranya ialah bayaran elaun minimum adalah RM100 sebulan, mengadakan borang permohonan bayaran elaun ibu tunggal dan kaedah mendapatkan serta memulangkan borang permohonan.

Mereka memohon suatu perintah yang mengkehendaki defendan pertama dan kedua melantik sebuah jabatan atau agensi defendan pertama menguruskan Skim Bantuan Ibu Tunggal Selangor.

Plaintif-plaintif memohon deklarasi takrifan ibu tunggal ialah wanita berusia 18 tahun yang telah bercerai, balu, wanita pencari nafkah kepada keluarga, hidup berjauhan dari suami dan di dalam keadaan 'gantung tidak bertali'.

Sementara itu, Murtini memberitahu wartawan mereka memfailkan saman itu bagi menuntut apa yang dijanjikan kepada golongan ini dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

"Harapan kami janji mesti ditepati, dan rakyat selaku pengundi sentiasa ingat kepada manifesto," katanya.

Peguam yang mewakili para plaintif, Kamarudin Ahmad berkata selepas ini firma beliau akan memfailkan tuntutan yang sama daripada 5,000 ibu tunggal pada awal dan pertengahan bulan hadapan.

Beliau berkata kumpulan ibu tunggal yang memfailkan saman pada hari ini adalah dari kawasan Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sungai Besar, Sabak Bernam dan Hulu Langat.

No comments:

Post a Comment