Saturday, November 24, 2012

Penduduk Teluk Ketapang Promosi Inap Desa Sempena TMT 2013 Di Luar Negara


Kampung Teluk Ketapang di sini yang sangat terkenal dengan program inap desanya menyasarkan kehadiran 700 pelancong asing sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT 2013) pada tahun depan berbanding 400 pelancong pada tahun ini.

Pengurus program inap desa kampung berkenaan Mohd Hasli Mohd Zain berkata pihaknya akan mengadakan beberapa lawatan ke luar negara termasuk ke Indonesia, Australia dan Vietnam sebelum akhir Disember ini untuk mempromosikan keunikan kampung itu kepada pelancong di negara berkenaan.


"Kami akan membawa sekumpulan antara 15 hingga 30 orang penduduk kampung ini dengan perbelanjaan sendiri untuk mempromosikan kampung kami sebagai destinasi wajib kunjung pelancong asing.

"Kami turut membawa semua peralatan dan bahan masakan tradisi Terengganu untuk diperkenalkan di lokasi promosi di sana, kebiasaannya sama ada di lobi hotel atau pusat membeli-belah bagi tujuan itu," katanya di Kuala Terengganu, kelmarin.

Program inap desa yang dimulakan sejak akhir tahun 2007 di kampung itu kini disertai 46 pengusaha dan sehingga kini, ia adalah satu-satunya kampung yang sangat aktif dalam usaha promosi yang sangat kreatif hasil idea penduduk sendiri.

No comments:

Post a Comment