Thursday, November 22, 2012

Peruntukan Khas Hadapi Banjir Untuk Nelayan Berpendapatan Rendah

Yahya Khatib Mohamad menyampaikan elaun sara hidup kepada penerima, Hamirrisam Awang dalam Majlis Bayaran Elaun Sara Hidup Secara Tunai Persatuan Nelayan Kawasan Marang di Marang, Terengganu, kelmarin.
Golongan nelayan dan berpendapatan rendah dijangka menerima pemberian khas musim tengkujuh berbentuk barangan dapur bagi memberikan sedikit kelegaan kepada mereka ketika tidak dapat mencari rezeki di laut.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad berkata, peruntukan itu akan disalurkan melalui wakil-wakil rakyat di setiap kawasan di negeri ini bagi diagihkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

"Kita faham apabila berlaku musim tengkujuh, nelayan tidak dapat turun ke laut dan sebagainya. Jadi, selain elaun sara hidup, kita ada peruntukan khas untuk mereka.

Beliau menyatakan perkara itu pada Majlis Bayaran Elaun Sara Hidup Secara Tunai Persatuan Nelayan Kawasan Marang di Marang, Terengganu, kelmarin.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu memperuntukkan kira-kira RM1.17 juta bagi keperluan harian dan keperluan asas mangsa banjir negeri ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Zuhami Omar berkata bekalan makanan seperti selimut, tikar, lampin bayi kini ditempatkan di depo bencana Zon Timur, Marang.

Katanya sebahagian bekalan makanan ini telah siap dihantar ke 110 pangkalan hadapan Oktober lalu sebagai persiapan awal. "JKM telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi bencana ini kerana ramalan hujan lebat dan banjir akan melanda pada musim tengkujuh kali ini.

"Bekalan yang disediakan ini juga dijamin mencukupi untuk membantu mangsa banjir dari Terengganu dan Pahang," katanya kepada pemberita selepas meninjau bekalan persiapan di Depo Bencana Zon Timur di Marang semalam.


Beliau berkata lebih 300 kakitangan JKM turut dibekukan cuti bermula 15 Nov lalu bagi menghadapi bencana ini. Sementara itu, sebanyak 353 pusat pemindahan banjir disediakan yang mampu menampung lebih 49,000 mangsa pada satu-satu masa.

No comments:

Post a Comment