Saturday, November 17, 2012

PM Umum Projek Program Transformasi Ekonomi RM26 bilion

NAJIB (duduk, tengah) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (duduk, tiga dari kiri) bergambar bersama sebahagian daripada pelabur ETP di Putrajaya semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan 20 projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta tiga Koridor Ekonomi dengan nilai pelaburan sebanyak RM26.09 bilion menjelang 2020.

Najib berkata, projek berkenaan akan menyumbang RM10.07 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) dan mewujudkan 64,282 pekerjaan.

Semasa mengumumkan perkembangan terkini ETP yang terakhir bagi tahun ini, beliau berkata, 11 projek utama di bawah ETP akan menyumbang RM1.129 bilion kepada PNK, RM6.68 bilion pelaburan dan mewujudkan 40,021 pekerjaan.


Sembilan projek di bawah Koridor Ekonomi pula akan menyumbang RM8.95 bilion kepada PNK, RM19.41 bilion pelaburan dan 24,261 pekerjaan.

Katanya, meskipun ketidaktentuan global yang berterusan, Malaysia kekal sebagai destinasi menarik untuk pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh.

Dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Minyak, Gas dan Tenaga, Najib berkata, Seaport Worldwide Sdn. Bhd. akan melabur lebih RM1 bilion dalam membangunkan fasa satu projek Petrokimia dan Maritim Tanjung Bin.

"Ia akan melengkapkan projek-projek lain di Johor yang akan memacu wawasan Malaysia untuk menjadi hab perdagangan dan penyimpanan petroleum Asia Pasifik," kata beliau.

Dalam NKEA Greater Kuala Lumpur, Nusa Gapurna Development Sdn. Bhd. akan melabur RM5.23 bilion untuk menjana semula bandar lama Petaling Jaya.

"Pembangunan bandar PJ Sentral Garden yang meliputi kawasan seluas kira-kira 16 hektar bersedia untuk menjadi kawasan perniagaan hijau baharu di Selangor sekali gus menyokong Kuala Lumpur dan hab perniagaan lain di sekitar bandar raya dan negeri," kata beliau.

No comments:

Post a Comment