Mortadza menyempurnakan gimik perasmian Program Polis Bersama Masyarakat sambil diperhatikan Wan Mohd (kanan) pada Program Polis Bersama Masyarakat di Kuala Berang, kelmarin. |
Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene berkata, pendekatan itu mampu membentuk komunikasi dua hala secara lebih berkesan sekali gus bertepatan dengan konsep kepolisan masyarakat.
“Tidak dapat dinafikan, media elektronik memainkan peranan sebagai medium perhubungan utama masa kini.
"Namun, dalam usaha merapatkan jurang antara polis dengan masyarakat, program berbentuk turun padang masih tetap dilaksanakan dan ia dilihat lebih efisien," katanya sempena Program Polis Bersama Masyarakat di Kuala Berang kelmarin.
Turut hadir, Pemangku Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim.
Mortadza berkata, apabila berpeluang berjumpa sendiri, keikhlasan lebih dirasai, selain membolehkan orang awam juga merasakan mereka begitu dekat tanpa diselubungi rasa takut kepada polis.
“Peluang bersua wajah dengan komuniti juga adalah platform maklum balas jenayah di sesebuah kawasan. "Paling penting, orang awam juga perlu memainkan peranan untuk menjaga keselamatan di tempat masing-masing,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, PDRM sentiasa merangka dan melaksanakan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah sebagai usaha membentuk komuniti selamat.
"Ia termasuklah program 1Polis 1Anggota Polis dan Mesyuarat Pimpinan Daerah (Mespida).
"Mespida yang mula dilaksanakan tahun ini menjadi peluang terbaik kepada barisan kepimpinan yang ada di setiap daerah, terdiri daripada pelbagai jabatan, agensi dan pemimpin akar umbi menyampaikan maklumat secara langsung kepada ketua polis daerah," katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment