Thursday, November 8, 2012

Polis Terengganu Tumpas 'Geng Tebuk' Kedai Emas


Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah ‘Geng Tebuk’ yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah kedai emas di beberapa negeri termasuk Terengganu, Kelantan, Johor dan Selangor dengan penahanan lima lelaki warga asing di Jertih.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kelima-lima suspek berusia 21 hingga 36 tahun ditahan di dua lokasi berasingan pada jam 12 tengah hari semalam dan 10.20 pagi semalam.

Menurutnya, pada tangkapan pertama, seramai tiga suspek warganegara Vietnam berusia 26, 33 dan 36 tahun ditahan di bandar Jertih di dalam sebuah kereta Proton Wira apabila dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan polis yang ditubuhkan khas untuk melumpuhkan kumpulan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut, polis menemui pelbagai peralatan peralatan dipercayai untuk menebuk peti besi dan bilik kebal seperti mesin pencanai, mata pencanai, spanar, telefon bimbit dan pelbagai peralatan lain,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (PID) di Besut.  Hadir sama, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria.

Manoharan berkata, susulan tangkapan tiga suspek pertama itu, polis berjaya menahan dua lagi rakan mereka berusia 20 dan 21 tahun di stesen bas Jertih, jam 10.20 pagi semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam kes pecah dan tebuk di sebuah kedai emas di Kuala Besut ketika musim perayaan Aidilfitri 29 Ogos lalu, menyebabkan kerugian kira-kira RM250,000.

"Kes lain yang dikenal pasti mempunyai modus operandi sama termasuk di Kuala Krai, Kelantan. “Dengan tertangkap mereka semua, polis berjaya menyelesaikan kes kumpulan tebuk kedai emas dan mereka juga dipercayai terlibat dalam kes pecah gudang, kilang dan pasar raya di Johor dan Selangor serta beberapa negeri lain,” katanya.

Manoharan berkata, kumpulan berkenaan dipercayai datang lagi ke daerah ini untuk mencari sasaran sempena cuti perayaan Deepavali dan Awal Muharam, minggu depan.

Bagaimanapun katanya, niat mereka terbantut kerana pasukan khas polis yang ditubuhkan sentiasa memantau suspek yang dipercayai akan kembali melakukan jenayah di daerah ini.

"Mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun," katanya

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment