Saturday, November 3, 2012

Program Turun Ke Masjid Rapatkan Polis Dengan Kariah

Program polis turun ke masjid merupakan program susulan High Profile Polising di mana salah satu program yang telah dikenal pasti pucuk pimpinan polis untuk merapatkan lagi anggota polis dengan ahli kariah sesebuah masjid setempat.

Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene berkata program 1Masjid 1Anggota Polis ini telah mula dilaksanakan di seluruh negara tahun lepas.

"Program ini merupakan usaha kita untuk mengimarahkan masjid dengan bersolat bersama masyarakat setempat selain ia juga mampu merapatkan hubungan masyarakat dengan polis dan memastikan kawasan persekitaran kediaman masyarakat berada dalam keadaan yang selamat dan harmoni," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas bersolat Jumaat di Masjid Kampung Kuala Ping di Hulu Terengganu.

Turut hadir pemangku Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Md Jamil.

Mortadza berada di Terengganu bagi menghadiri mesyuarat Pengurusan PDRM melibatkan polis seluruh negara di Tasik Kenyir selama tiga hari yang berakhir esok.

Mortadza berkata dengan jalinan kerjasama yang erat antara polis dan masyarakat, mereka mampu membendung kegiatan jenayah di satu-satu kawasan dengan lebih efisyen.

Beliau juga memuji polis Kontinjen Terengganu apabila menjadi perintis mewujudkan Program 1Masjid 1Anggota Polis di setiap masjid negeri itu.

"Program 1Masjid 1Anggota Polis ialah setiap masjid negeri Terengganu akan mempunyai seorang anggota polis yang ditugaskan sebagai pegawai perhubungan kepada masjid tersebut.

"Setiap kali mesyuarat AJK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) masjid, pegawai polis akan hadir untuk memberi pandangan atau menerima input daripada kariah bagi memantapkan lagi usaha polis dalam menjamin keselamatan masyarakat.

"Bukan itu saja, kita juga mewujudkan 1JKKK dan 1Anggota Polis dengan peranannya sama seperti yang diwujudkan di masjid," katanya. Hamzah berkata ekoran penubuhan program itu, kadar jenayah di negeri Terengganu pada tahun ini menurun 4.33 peratus berbanding tahun sebelumnya.

No comments:

Post a Comment