Thursday, November 15, 2012

Senarai Pemain Skuad Penyu Akan Diumumkan Minggu Depan

Marzuki bersalaman dengan Louiz Bernades yang baru tiba di Terengganu kelmarin dan akan menyertai sesi pemilihan bermula hari ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pasukan Terengganu akan mengumumkan senarai penuh pemain selewat-selewatnya minggu depan bagi mengharungi saingan kempen Liga Malaysia musim depan.

Pengurusnya, Marzuki Sulong berkata, sehingga kini jawatankuasa pemilihan skuad Penyu telah mengenal pasti barisan pemain yang akan beraksi bersama kem Terengganu bagi 2013.

Menurutnya, selain dua pemain import, skuad Penyu turut menguji beberapa pemain tempatan yang mempunyai nama besar dalam arena bola sepak negara bagi memperkuatkan lagi pasukan.

“Sehingga kini, kita telah menguji tujuh pemain import dan tiga lagi sedang mengikuti sesi pemilihan bermula dua hari lalu, masing-masing daripada Cameroon (Nlomgoi Yannick George) dan Republik Kongo (Patrick Kanyuka).

“Seorang lagi pemain dari Brazil (Louiz Bernades) baru tiba hari ini (kelmarin) dan akan menyertai sesi pemilihan bermula semalam sehingga Khamis (hari in),” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan di padang Kompleks Sukan Gong Badak, kelmarin.

Dalam pada itu, Marzuki turut memaklumkan tiga daripada 10 pemain import yang menjalani sesi pemilihan bagi posisi pertahanan telah dikenal pasti, manakala bagi posisi serangan, skuad Penyu masih berpegang pada perjanjian persefahaman yang dimeterai bersama penyerang Negeri Sembilan, Effa Owana.

Katanya, selain pemain import, lima pemain tempatan turut disenarai pendek oleh jawatankuasa pemilihan untuk beraksi bersama kem Terengganu musim depan.

 “Bagaimanapun, kita masih belum boleh mengumumkan nama-nama mereka, insya-ALLAH selepas tamatnya sesi pemilihan Khamis ini, kita akan maklumkan senarai penuh skuad Terengganu selewatnya minggu depan,” katanya.

Ditanya berhubung kekosongan dua tonggak pertahanan Terengganu selepas kapten pasukan, Marzuki Yusof dan Mazlizam Mohamad dilepaskan untuk beraksi bersama pasukan T-Team musim depan, beliau berkata, pengganti mereka sudah tersenarai dalam lima pemain yang telah dikenal pasti dalam kalangan pemain bertaraf bintang itu.

“Memang kita merasai kehilangan mereka, namun kita perlu hormat keputusan mereka dan memberi ruang untuk membuat pilihan, namun mereka berdua masih bersama pasukan keluarga kita (T-Team).

“Apa pun, saya mengharapkan barisan pemain Terengganu yang bakal diumumkan nanti mampu mengalas tanggungjawab masing-masing, seterusnya mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini dengan menyasarkan salah satu piala dalam kempen Liga Malaysia,” katanya

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment