Thursday, November 22, 2012

T-Team Kecewa Cara Kelantan Pikat Zairo, Faiz?

 T-Team bukan saja bakal kehilangan kaptennya, Zairo Anuar Zailani (kiri), malah penyerang, Faiz Subri (kanan) yang berpindah ke Kelantan musim depan.

“Semuanya itu pasti hanya kerana wang," kata Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rasid Jusoh yang kurang senang dengan cara keputusan dua pemain harapan The Titans untuk berpindah ke The Red Warriors.

"Zairo dan Faiz masih lagi mempunyai kontrak dengan T-Team hingga akhir bulan ini dan mereka juga sudah bersetuju untuk memperbaharui kontrak dengan The Titans

"Mungkin ada sesuatu yang tidak kena kerana kami baru saja diberitahu, mereka sudah bersetuju untuk menyertai Kelantan musim depan," kata Abdul Rasid yang enggan mengulas lanjut mengenai masa depan kedua-dua pemain itu bersama T-Team.

Namun sumber berkata, kedua-dua pemain itu ditawarkan bukan saja gaji yang lebih tinggi, malah menerima imbuhan lain yang lumayan bagi memastikan mereka menyertai pasukan yang memenangi tiga kejuaraan musim ini.

Tindakan tidak beretika "Zairo dan Faiz juga sudah menandatangani kontrak dengan Kelantan dan itu bukan saja tidak beretika, malah menyalahi peraturan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Mungkin kontrak yang ditandatangani cuma akan menjadi efektif selepas tamatnya kontrak dua pemain itu dengan T-Team, namun perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku," kata sumber itu.

Katanya, pihak pengurusan T-Team kini sedang berbincang sama ada mengambil tindakan terhadap kedua-dua pemain terbabit dengan mengemukakan laporan mengenai perpindahan mereka kepada FAM. "Jika tidak dilaporkan kepada pihak berwajib, sudah tentu 'taktik kotor' membeli pemain akan berterusan dan gejala tidak sihat ini perlu dihentikan segera," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Rosmadi Ismail ketika dihubungi berkata, Zairo dan Faiz mungkin menyarung jersi Kelantan musim depan.

"Saya tidak terbabit dalam perundingan untuk membawa mereka ke Kota Bharu, namun saya ada mendengar yang mereka sudah bersetuju meninggalkan T-Team dan menyertai kami," katanya

Berita Harian

1 comment:

  1. Terima lah hakikat... T team amik Indra ngan Farhan dulu pon ada kelantan bising.. xdop pun...

    ReplyDelete