Tuesday, November 27, 2012

Tandas Eksekutif MBKT Dapat Anugerah Emas


Tandas Eksklusif milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai tandas awam terbersih di Malaysia, sekali gus merangkul Anugerah Emas.

Datuk Bandar, Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata, satu-satunya tandas eksklusif di bandaraya itu berjaya menewaskan tujuh tandas awam yang lain bagi kategori Tandas Awam PBT (Bandaraya/Perbandaran) pada Pertandingan Anugerah Tandas Bersih 1Malaysia.


Menurutnya, kejayaan itu amat bermakna untuk bandaraya baru seperti Kuala Terengganu, apatah lagi dalam usaha mencapai hasrat mempunyai bandaraya bersih yang menjadi pilihan ramai.

“Kejayaan ini bagi saya bukan sahaja kejayaan MBKT tetapi warga bandaraya secara keseluruhannya. "Walaupun dari segi penggunaannya amat besar iaitu menghampiri 6,000 hingga 10,000 orang sebulan kerana kawasan ini menjadi lokasi karnival dan pasar malam tetapi pada masa sama, kita dapat mengekalkan kebersihan dan keadaan tandas ini setelah hampir lapan tahun beroperasi," katanya pada sidang media khas berhampiran Tandas Eksklusif MBKT di Dataran Shahbandar, di Kuala Terengganu, semalam.

Ditanya kemungkinan membina lebih banyak tandas eksklusif seperti itu, Adzlan berkata, Batu Burok dilihat lokasi strategik membina tandas seumpama itu.

Bagaimanapun katanya, ia masih peringkat cadangan kerana kos pembinaan tandas itu agak besar iaitu RM500,000.

Sementara itu, sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Terengganu (TMT) tahun depan, MBKT kini sedang membaik pulih dan membaiki semua tandas awam di bandaraya itu, khususnya di lokasi tumpuan pelancong.

“Kita mengharapkan kerjasama semua pihak termasuk pemilik kedai makan, stesen minyak, pasar serta masjid dan surau di bandaraya ini meningkatkan tahap kebersihan," katanya

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment