Kerajaan Negeri Terengganu akan mengadakan lebih banyak seminar pendidikan fatwa pada tahun depan bagi mengelak kekeliruan masyarakat berkaitan hal ehwal agama.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri Khazan Che Mat berkata menerusi seminar itu, masyarakat juga akan didedahkan mengenai prosedur sebelum sesuatu fatwa dikeluarkan.
"Seminar pendidikan fatwa ini akan diperluaskan lagi dan menyentuh lebih banyak isu terkini supaya orang ramai tidak lagi mudah terkeliru dan terikut-ikut dengan pandangan pihak tertentu.
"Sebagai contoh, isu penerangan pelaksanaan hukum hudud dan qisas yang pastinya akan (dapat) difahami lebih jelas oleh peserta seminar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa dan Falak di Dewan Majlis Daerah Setiu di Setiu semalam.
Program anjuran Jabatan Mufti Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu itu adalah yang kali kedua diadakan dengan yang pertamanya di Dungun awal tahun lalu.
Sebanyak tiga ceramah diadakan sepanjang seminar itu, bertajuk 'Isu-isu Berkaitan Penetapan Syawal dan Zulhijjah, Pemurnian Akidah dan Penggunaan Benda Haram Dalam Perubatan yang disampaikan tokoh akademik dan penceramah terkenal.
Mengenai tahap kefahaman umat Islam mengenai fatwa yang telah dikeluarkan, Khazan berkata masyarakat perlu diberikan lebih banyak kupasan dan penjelasan mengenai sesuatu fatwa itu.
"Jika masyarakat tidak tahu, mereka akan mudah dikelirukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang akan mempergunakannya untuk kepentingan mereka.
"Namun, usaha berterusan yang dijalankan oleh JHEAT dan Jabatan Mufti mampu memberi penerangan dan membasmi kekeliruan di kalangan rakyat," katanya yang mahu masyarakat mendapatkan sumber rujukan Al-Quran atau hadis mengenai sesuatu isu.
No comments:
Post a Comment