Friday, December 28, 2012

25 Sukarelawan NSTP Media Prima Mulakan Misi Bantu Mangsa Banjir

Ahmad Izham Omar (tiga dari kanan) mengibarkan bendera sebagai simbolik pelepasan sukarelawan Media Prima pada majlis Pelepasan Briged Sukarelawan NSTP-Media Prima di Sri Pentas, semalam.
Seramai 25 sukarelawan terdiri daripada kakitangan The New Straits Times Press (M) Bhd dan Media Prima Bhd (NSTP-Media Prima) memulakan misi membantu mangsa banjir di Terengganu dan Pahang, semalam.

Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, berkata sukarelawan berkenaan dijangka menyampaikan bantuan berbentuk makanan dan kelengkapan harian kepada mangsa banjir di kawasan yang terjejas teruk seperti di Hulu Terengganu, Kemaman dan Kuantan.

Beliau berkata, sukarelawan akan mengagihkan bantuan kepada 257 keluarga di sekitar Hulu Terengganu bermula esok sebelum bergerak ke Cherating bagi menyampaikan bantuan kepada 306 keluarga di Kemaman dan 312 keluarga di Kuantan.

"Secara keseluruhan lebih 900 keluarga akan menerima bantuan di tiga kawasan berkenaan. Misi selama empat hari ini juga disertai Kelab Kembara Selangor.

"Antara barangan yang akan disampaikan adalah seperti beras, gula, garam, sabun dan ubat gigi yang mendapat tajaan daripada TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd dan ADABI Consumer Industries Sdn Bhd," katanya selepas Majlis Pelepasan Briged Sukarelawan NSTP-Media Prima di Sri Pentas, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad yang juga Ketua Kontinjen, Shariman Zainal Abidin, berkata penyerahan bantuan itu adalah untuk fasa pertama.

"Kita akan lihat sama ada perlu penambahan atau tidak dari segi jumlah bantuan kepada mangsa banjir. Ini tertaluk kepada keadaan semasa di kawasan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggerakkan 400 sukarelawan 1M4U ke empat buah negeri yang kini dilanda banjir bermula hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Belia dan Sukan, hari ini, seramai 100 sukarelawan ditempatkan di setiap negeri yang terjejas akibat banjir iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor bagi membantu dan meringankan beban psikologi mangsa banjir di pusat pemindahan

 "Selain itu, sukarelawan 1M4U KBS akan membantu menjalankan lain-lain kerja kesukarelaan sepanjang berada di pusat pemindahan," katanya.

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyelaras Sukarelawan 1M4U KBS, Engku Mohd Azmi Engku Mohd Basri di talian 019-3298949.

No comments:

Post a Comment