Sunday, December 23, 2012

Anggota Polis Tidak Hadir Bertugas Kena Belasah Penduduk Kampung

Noor Zainy...mangsa 38 tahun ditangkap ahli keluarga mangsa.
Seorang anggota polis yang tidak hadir bertugas sejak Mac lalu cedera parah dibelasah penduduk kampung selepas dipercayai menceroboh sebuah rumah ibu tunggal, di Kampung Bukit Keluang, di Besut.

Dalam kejadian jam 4 pagi semalam itu, suspek yang berusia 38 tahun ditangkap ahli keluarga mangsa dan penduduk kampung dalam rumah ibu tunggal berusia 51 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Noor Zainy Mohd Nor berkata, suspek dikatakan masuk ke dalam rumah mangsa melalui tingkap bilik tidur mangsa dan perbuatan suspek disedari mangsa yang mengenali suspek.

Menurutnya, suspek berada di hujung kaki mangsa, dan setelah mangsa sedar dari tidur, suspek memberitahu dia lapar dan meminta makanan.

“Ahli keluarga mangsa dan penduduk kampung yang menyedari perbuatan suspek telah bertindak menangkap suspek dalam rumah itu dan memukul suspek sebelum mangsa menghubungi pihak polis,” katanya.

Noor Zainy berkata, suspek yang cedera parah di tangan dan lebam di belakang badan telah dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Menurutnya, mangsa tinggal dalam rumah itu bersama seorang anak perempuan berusia 18 tahun dan tiga cucu lelaki berusia antara 7 hingga 12 tahun.

Kata beliau, suspek yang sebelum ini bertugas di Cawangan Tugas Am Balai Polis Pasir Akar, Hulu Besut dikehendaki polis selepas tidak hadir bertugas sejak Mac lalu, namun usaha mengesannya gagal.

Suspek mempunyai rekod lampau berkait kesalahan dadah dan saringan air kencing di Hospital Besut mendapati, suspek positif dadah.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 451 kerana menceroboh yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda.

No comments:

Post a Comment