Tuesday, December 4, 2012

Bekas Pengerusi MRCB Bersedia Jadi 'Ombak'

Rahman menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Tuan Guru Abdul Hadi di Baru Pahat pada Sabtu  lalu.
Bekas Pengerusi Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Datuk Abdul Rahman Maidin muncul personaliti terbaru menyertai Pas.

Beliau yang juga bekas Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia mengumumkan penyertaan itu bersama tiga lagi bekas pegawai kanan kerajaan pada Himpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Johor di Batu Pahat, malam kelmarin.

Turut menyertai Pas ialah bekas Pengarah Eksekutif Felda Plantations, Mohd Sais Joned. Dua yang lain ialah bekas Pengarah Pelajaran Johor, Ramlan Sariman dan Timbalan Pengarah Institut Perguruan Batu Pahat, Nasir Abdullah.

Laporan Harakahdaily menyebut mereka menyerahkan borang meyertai Pas kepada Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Di Tasek Gelugor, Rahman bersedia jadi ombak untuk menghempas benteng lama sehingga pecah. Ujarnya, biar pecah benteng lama yang sudah tidak kukuh dan membina kembali dengan benteng yang kuat dan padu.

"Jika digambarkan suasana di lautan, saya pilih ombak sebab ombak dia boleh bersihkan pantai bahkan bukan setakat bersih, dia boleh hancurkan benteng yang tak kukuh, " ujarnya ketika ditanya selepas berucap di majlis makan malam anjuran Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pulau Pinang dengan kerjasama PAS Kawasan Tasek Gelugor di Taman Desa Murni, Sungai Dua semalam.

Beliau berkata, sudah sampai masanya, benteng usang diganti supaya rumah atau pokok yang ada berdekatan pantai dapat diselamatkan.

Jika ombak kuat berlaku di tengah lautan pun tegasnya, alunannya boleh menenggelamkan kapal besar yang muatannya berlebihan.

"Kemasukan saya dalam PAS bukan untuk apa-apa tujuan melainkan ingin membantu PAS bersama Pakatan Rakyat menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum ke 13 nanti," katanya yang juga bekas Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang.

Berucap sama dalam program tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Pengerusi DHPP Pusat, Hu Pang Chaw.

No comments:

Post a Comment