Tuesday, December 11, 2012
Lelaki Pukul Isteri Syak Hubungan Sulit dengan Adik Kena Penjara 3 Bulan
Seorang suami yang mengaku salah mencederakan isterinya selepas mengesyaki mangsa menjalin hubungan sulit dengan adiknya, dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, semalam.
Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap, Mohd Fadli Che Mansor, 22, dari Kampung Paya Teluk Ketapang, Seberang Takir, di Kuala Terengganu.
Mohd Fadli dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Rohana Rosli, 22, di kampung yang sama pada jam 11 malam, 3 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala tertuduh yang juga bapa kepada seorang anak tidak diwakili peguam.
Tiba-tiba mengamuk Mengikut fakta kes, mangsa berada di rumahnya sebelum Mohd Fadli tiba-tiba mengamuk dan mencederakannya di bahagian kepala. Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, di Kuala Terengganu, sebelum Mohd Fadli ditangkap di rumah mereka pada keesokan harinya kira-kira jam 5 petang.
Hasil siasatan dijalankan, Mohd Fadli mengaku mencederakan mangsa di ruang tamu rumah mereka kerana tidak berpuas hati selepas mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan adiknya sendiri.
No comments:
Post a Comment