Sunday, December 2, 2012

LPP Terengganu Memberi Lebih Fokus Kepada Tanaman Fertigasi

Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (LPP) akan memberikan lebih fokus kepada aktiviti tanaman fertigasi pada tahun depan memandangkan ia memberi pulangan yang menguntungkan kepada petani-petani.

Pengarahnya Shamsuddin Mat Rani berkata tumpuan utama yang akan diberikan tumpuan oleh LPP tahun depan ialah tanaman sayur-sayuran dan juga tanaman tembikai madu.

"Kita akan cuba merubah sektor pertanian di Terengganu dengan pertanian secara fertigasi yang memberi pulangan yang tinggi kepada para petani," katanya semalam.


Tanaman tembikai madu secara fertigasi di Kampung Maras Batu Rakit dalam Daerah Kuala Terengganu umpamanya, ternyata menghasilkan pulangan yang memberangsangkan kepada pesertanya.

Shamsuddin berkata tanaman itu diusahakan oleh sekelompok enam orang peserta yang terdiri daripada penduduk tempatan telah berjaya memperoleh hasil RM36,000 apabila pertama kali ditanam empat bulan lalu.

Namun, pada tahun depan, LPP akan menggalakkan kumpulan itu membuat empat pusingan setahun dengan tanaman yang sama yang dijangka akan memberi hasil menjengkau RM150,000 setahun.

Katanya, dengan hasil yang begitu lumayan, para peserta projek itu akan memperoleh pendapatan kira-kira RM20,000 seorang setahun berbanding pendapatan mereka yang tidak menentu sekarang ini.

Menurut Shamsuddin, LPP telah melabur RM200,000 untuk melengkapkan kemudahan asas seperti baja dan sebagainya untuk tanaman fertigasi Maras Batu Rakit seluas satu hektar itu.

Untuk projek kelompok pertama, beliau berkata mereka mencuba 8,000 beg poli tanaman tembikai susu yang memberikan hasil 12 tan metrik tan yang bernilai RM36,000.

"Bagaimana pun, tahun depan kita akan mula tanam dari Januari sebanyak empat pusingan dengan setiap pusingan sebanyak 8,000 beg yang dianggarkan memberi hasil mencecah RM150,000," katanya.

Shamsuddin berkata selain Maras Batu Rakit, projek seumpama itu juga dilaksanakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Terengganu di kampung Sungai Derhaka dan Pertubuhan Peladang Bukit Diman Hulu Terengganu di Kampung Pala.

Semua projek itu di bawah pengawasan LPP.

LPP Terengganu akan mengubah sektor pertanian dari kaedah konvensional kepada tanaman moden iaitu secara fertigasi bagi memberi pulangan tinggi kepada petani.

Lagi pun, Shamsuddin berkata kaedah tanaman fertigasi terselamat daripada banjir selain pengeluarannya mudah dikawal dan diusahakan sepanjang tahun.

Dalam hal ini, Pengarah LPP Terengganu itu berkata ahli-ahli peladang di negeri ini perlu meningkatkan ilmu sekiranya mereka ingin terus maju dan berjaya. Beliau berkata pihaknya juga memperkenalkan tanaman fertigasi gantung yang membabitkan tanaman sayur-sayuran di Kampung Pinang Merah, Bukit Besi Dungun.

No comments:

Post a Comment