Tuesday, December 18, 2012

LupusBarang Curi - Pembantu Kedai berdepan Denda RM11,500

Wan Saidi (kanan) dan Md Sarizan (tengah) sewaktu diringi keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam. 
Padah melupuskan barang curi iaitu perabot milik majikannya sendiri, seorang pembantu kedai perabot dikenakan denda RM11,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kelmarin. \

Bukan itu sahaja, tertuduh, Md Sarizan Md Zin turut berdepan hukuman penjara 11 bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melupuskan barang curi.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh yang berasal dari Seberang Takir dituduh dengan sengaja melupuskan sebuah almari hiasan milik majikannya, Ooi Chiew Eng, 41, di Kampung Paloh, Chabang Tiga, di sini antara jam 11 hingga 11.30 malam pada 8 Disember lalu.

 Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan barang curi. Bagi pertuduhan kedua pula, Md Sarizan didakwa dengan sengaja melupuskan sebuah kabinet dapur milik Ooi di Perumahan Awam Kos Rendah Mengabang Lekor, Batu Rakit, di Kuala Terengganu, kira-kira jam 5.20 petang pada 10 Disember lalu dan dituduh mengikut seksyen yang sama.

SSementara bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh melakukan kesalahan di bawah seksyen sama, bersama seorang rakannya, Wan Saidi Wan Bong, 28.

Mereka didakwa dengan sengaja melupuskan sebuah almari pakaian kanak-kanak dan sebuah almari pakaian dua pintu milik mangsa sama di Ladang Gemilang 1, Kampung Ladang Sekolah, di sini, kira-kira jam 5 petang pada 11 Disember lalu.

Sebaik mendengar pengakuan bersalah tertuduh, Majistret Abdul Hayyi Salim kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM4,000 bagi pertuduhan pertama dan denda RM3,500 bagi pertuduhan kedua atau penjara tiga dan lima bulan jika gagal menjelaskan denda.

 Manakala bagi pertuduhan ketiga, Majistret Abdul Hayyi menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu terhadap dua sahabat berkenaan. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment