Friday, December 14, 2012

MB - Jejantas Antara Pembaharuan Pasar Payang


Projek menaik taraf Pasar Payang akan meliputi pembinaan jejantas yang menghubungkan pasar itu dan Bazar Warisan bagi memudahkan pengunjung, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata projek ubah suai pasar yang akan dilaksana tahun depan itu akan memastikan Pasar Payang berwajah baharu dan lebih moden, seiring dengan statusnya sebagai lokasi tumpuan pelancong. Reka bentuk pasar bukan sahaja lebih menarik tetapi juga dilengkapi pendingin hawa selain pasar basah dan kering diasingkan, katanya menjawab soalan Dr Alias Razak (PAS-Bukit Tunggal) pada persidangan dewan undangan negeri, di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya notis rasmi pengosongan pasar tersebut sudah dikeluarkan kepada peniaga.


Menurut Ahmad Said, peniaga ikan ditempatkan di sebuah pasar baharu di Cabang Tiga mulai tahun hadapan. Pasar baharu itu sedang dibina, katanya.

Bagi peniaga kain pula, mereka akan dipindahkan ke bangunan tempat letak kereta di pasar tersebut, katanya.

Menjawab soalan tambahan Alias, beliau berkata kerajaan negeri memutuskan untuk mengekalkan kedudukan Pasar Payang di atas air bagi membolehkan pengunjung datang menaiki bot.

No comments:

Post a Comment