Wednesday, December 26, 2012

Najib - Saya Mahu Jadi PM Setiap Rakyat Malaysia


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berkata, beliau faham jika komuniti Kristian merasakan bahawa kerajaan tidak melakukan secukupnya untuk melibatkan mereka.

"Bagaimanapun, saya perlu menyatakan, secara ikhlas, bahawa kita sebenarnya berjaya mencapai banyak perkara bersama tanpa diketahui umum," katanya sambil menambah antaranya, menghapuskan sekatan terhadap penganut Kristian yang ingin ke Baitulmuqadis bagi upacara keagamaan.

"Ini adalah keterangkuman yang saya cari kerana saya percaya ada tempat untuk kita semua di bumi Malaysia," kata beliau pada majlis minum petang sempena sambutan Hari Krismas anjuran pihak pengurusan Gereja Luther di Petaling Jaya, semalam.


 "Di sini, saya sekali lagi ingin menghulurkan salam persahabatan kerajaan, mendakap komuniti Kristian dan berkongsi perasaan muhibbah dengan anda.

"Saya tidak mahu menjadi Perdana Menteri untuk satu seksyen masyarakat sahaja tetapi untuk semua rakyat Malaysia," katanya disambut dengan tepukan hadirin.

Menegaskan komitmen beliau kepada masyarakat Kristian, Najib berkata, mereka tidak perlu berasa yang mereka sudah dilupakan.

Najib turut menggesa komuniti Kristian di negara ini agar menyertai perjalanan untuk melakukan perubahan dan pembaharuan ke arah Malaysia yang lebih baik.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim serta isteri Datin Seri Masnah Rais; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Chor Ha.

Hadir sama Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Biskop, Datuk Ng Moon Hing; Biskop Philip Lok dari Gereja Lutheran Malaysia dan Ketua Biskop Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam yang mewakili biskop Katolik.

No comments:

Post a Comment