Wednesday, December 5, 2012

PPDNKK Kemaman Sita Lori Bawa Minyak Subsidi

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) cawangan Kemaman mematahkan kegiatan menjual diesel subsidi di daerah ini dan Dungun dengan menahan pemandu lori ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen di Kemaman petang kelmarin.

Lori seberat tiga tan itu membawa sebuah tangki dengan kapasiti 10,000 liter yang ditutup dengan kanvas dan dipenuhkan melalui pembelian di beberapa stesen minyak sepanjang laluan untuk mengelak perbuatan itu dihidu.

Ketua cawangan, Wan Mohd. Marzuki Wan Abdul Kadir memberitahu Utusan Malaysia di sini hari ini, ini merupakan kejayaan ketiga pada tahun ini dalam usaha membanteras kegiatan yang sama hasil maklumat orang awam yang disalurkan melalui emel.


''Bertindak atas aduan itu, tiga pegawai penguat kuasa membuat pemantauan dan risikan selama seminggu dan semalam mereka mengekori sebuah lori dipercayai dari Melaka sedang menghala ke Kerteh dan singgah di sebuah stesen minyak.

''Modus operandinya, ketika mengisi minyak menggunakan kad kredit di pam, engin tidak dimatikan dan satu suis di bawah lori akan ditekan bagi mengepam minyak naik ke dalam tangki di atas kenderaan yang tertutup itu," ujarnya.

Katanya, lori dengan isian dalam tangki sebanyak 400 liter yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000 disita manakala pemandunya ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dihadapkan ke mahkamah.

''Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 di mana jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali," ujar beliau.

Katanya, stesen-stesen minyak yang dijadikan sasaran kebanyakannya tidak memerlukan urusan pembelian bahan itu dengan kad kredit dilakukan oleh kakitangan di kaunter di mana mereka pastinya menyedari jika pembelian melebihi had 250 liter.

Beliau turut memberi amaran kepada para pengusaha stesen minyak agar tidak bersekongkol dengan 'penyangak minyak' ini kerana mereka juga tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan jika didapati membiarkan gejala itu.

No comments:

Post a Comment