Saturday, December 22, 2012

Tesdec Sedia Tenaga Mahir Penuhi Tenaga Kerja Industri Di Terengganu

Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) kini bukan sahaja menyediakan kursus kemahiran kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi menyediakan tenaga kerja separuh mahir bagi kawasan industri di Kertih, Kemaman.

 Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Che Razali Adis berkata pihaknya baru sahaja berbincang dengan sebuah syarikat besi waja Eastern Steel bagi menyediakan 200 pekerja separuh mahir yang diperlukan syarikatnya.

"Pada perbincangan itu kita dikehendaki menyediakan tenaga pekerja berkenaan yang akan mengikuti kursus di sini sebelum diserapkan ke kilang tersebut pada tahun hadapan," katanya kepada pemberita di Marang, kelmarin.


Beliau berkata demikian selepas majlis penutup program Gemilang Siswa IPTA/IPTS 2012 anjuran Pejabat Penerangan Negeri Terengganu dengan kerjasama TESDEC kelmarin.

Che Razali berkata yang terbaru TESDEC akan mengadakan perjanjian Kerjasama dengan Taman Polimer berkaitan industri bioteknologi di Kertih bagi menyediakan tenaga kerja di situ.

No comments:

Post a Comment