Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) mengeluarkan pinjaman RM39.685 juta kepada 16,000 keluarga mudah miskin di negeri itu sejak 1995 hingga tahun ini.
Pengarahnya, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata wang tersebut untuk dijadikan modal pusingan perniagaan supaya golongan berkenaan menjadi usahawan dan sekali gus terkeluar dari garis kemiskinan serta dapat berdikari pada masa depan.
"Takrif mudah miskin di Terenggaanu ialah berpendapatan perkapita keluarga bawah RM600 sebulan," katanya semalam.
Shafaruddin, berkata mengikut rekod, 5,000 daripada peminjam itu masih lagi meminjam manakala selebihnya telah pun lepas daripada meminjam dan sudah menjadi usahawan.
Katanya pelbagai perniagaan dijalankan oleh usahawan itu dengan pinjaman tersebut seperti membuat cili sos, songket, pakaian pengantin, kimpalan, kraftangan, pajak pokok getah dan banyak lagi.
Beliau berkata sesetengah daripada usahawan berkenaan sekarang ini telah memperolehi pendapatan sehingga RM4,000 sebulan berbanding bawah RM1,000 sebelum ini.
"Pendapatan mereka sekarang ini melebihi 100 peratus daripada pendapan asal dan inilah tujuan kita membantu mereka supaya mereka tidak terus tinggal dalam kemiskinan," katanya.
Shafaruddin berkata, dalam hal ini, YPK memberikan pinjaman maksimum RM10,000 satu keluarga, tanpa faedah dan pinjaman itu terbuka kepada rakyat negeri Terengganu
Untuk memastikan mereka yang mendapat pinjaman itu berjaya dalam bidang masing-masing, YPK sentiasa memberikan bimbingan dan khidmat nasihat, selain mengadakan lawatan untuk meluaskan pengetahuan.
Katanya YPK sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk mengajar dan membimbing usahawan itu dari segi pengurusan kewangan dan sebagainya.
Shafaruddin berkata apa yang membanggakan kesemua peminjam tersebut membayar balik pinjaman masing-masing apabila pegawai-pagawai datang mengutip hutang ke rumah mereka.
Untuk 2012, beliau berkata YPK telah mengeluarkan pinjaman RM6.4 juta yang melibatkan seramai 1,153 orang golongan mudah miskin untuk berniaga.
Pinjaman maksimum sebanyak RM10,000 seorang.
Mereka ialah seramai 204 di Setiu, Kuala Nerus (138), Kuala Terengganu (237), Marang (80), Hulu Terengganu (78), Dungun (167) dan Kemaman (155).
Antara yang mendapat pinjaman tahun ini termasuklah 161 orang ibu tunggal.
Shafaruddin berkata, untuk 2013, YPU menyasarkan 1,000 keluarga yang akan mendapat pinjaman dengan peruntukan RM8 juta.
Tahun depan juga, katanya YPU menyediakan peruntukan RM20 juta untuk pinjaman kepada ibu-ibu tunggal berniaga dengan maksimum pinjaman sebanyak RM20,000 seorang.
Beliau berkata jumlah pinjaman itu meningkat sekali ganda berbanding cuma RM10,000 tahun ini.
No comments:
Post a Comment