Polis sudah mengenal pasti identiti tiga lagi suspek masih bebas yang dipercayai terlibat dalam kes tetak seorang mekanik di sebuah rumah di tepi Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Darau, Hulu Besut, Besut, Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 20-an itu adalah saudara terdekat suspek utama, 36, yang berjaya ditangkap di Kampung Padang Bual, Hulu Besut, Besut, jam 10 pagi, kelmarin.
“Seorang daripada mereka adalah adik kepada suspek utama dan dua lagi anak saudaranya yang kini dipercayai sedang bersembunyi
“Jadi, mereka dinasihatkan agar menyerah diri di balai polis berhampiran dalam masa terdekat, bagaimanapun, kita yakin dengan maklumat yang diperoleh, kesemua suspek pada bila-bila masa akan ditangkap,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa berusia 29 tahun diserang empat lelaki dikenali di kediamannya bertubi-tubi sehingga menyebabkan cedera parah dan dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di lengan, rusuk, dan ibu jari kanan serta luka belakang badan kini dilaporkan stabil.
No comments:
Post a Comment