Wednesday, January 30, 2013

Bekas Tentera Terengganu Terima Sumbangan RM1,000 Awal Feb

Perdana Menteri diserbu bekas tentara pada satu majlis 15 Disember lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bertemu bekas tentera Terengganu, awal Julai 2012.
Pesara tentera tidak berpencen di Terengganu akan menerima Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) secara berperingkat bermula awal bulan depan.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) Terengganu Alias Abdul Razak meminta mereka yang belum mendaftar dengan PVTTB agar segera berbuat demikian bagi memudahkan agihan sumbangan.

Agihan akan dimulakan dengan daerah Kuala Terengganu dan Marang pada 5 Februari di Wisma Darul Iman, manakala bagi Kemaman dan Dungun pada 16 Februari di Institut Kemahiran Belia Negara Kemaman, katanya pada sidang media, di Kuala Terengganu, semalam.


Menurut Alias, PVTTB belum memutuskan tarikh agihan bagi daerah Besut dan Setiu. Katanya rekod Jabatan Hal Ehwal Veteran angkatan Tentera Malaysia menunjukkan terdapat hampir 12,000 pesara tentera tidak berpencen di Terengganu.

"Daripada jumlah itu, yang berdaftar dengan persatuan sekarang cuma 1,500 orang sahaja," katanya. Katanya untuk berdaftar mereka hanya perlu membayar yuran keanggotaan RM10 dan RM50 jika mahu menjadi keanggotaan seumur hidup.

Untuk keterangan lanjut, mereka boleh hubungi talian 010-9177791, 013-9317221 atau 013-6262034, kata Alias.

Di bawah SVTB1M yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Belanjawan 2013, bekas tentera tidak berpencen yang layak akan menerima sumbangan 'one-off' RM1,000 seorang.

No comments:

Post a Comment