Raja Kamarul Bahrin Shah (dua, kiri) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (empat, kiri) menziarahi makam Tengku Zaleha Ismail di Makam Diraja di Masjid Abidin, kelmarin. |
Almarhumah yang berusia 78 tahun merupakan kakak kepada Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, mempunyai seorang anak iaitu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan mempunyai tujuh cucu serta seorang cicit yang berusia tiga bulan.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Makam DiRaja di Masjid Abidin di Kuala Terengganu , selepas solat Zohor.
Anak tunggalnya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, Almarhumah meninggal dunia di sisi keluarga di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu.
Menurutnya, Almarhumah menghidap kanser sejak 14 tahun lalu dan kesihatannya semakin merosot sejak akhir-akhir ini, sebelum menyuarakan hasrat untuk kembali ke Terengganu, Isnin lalu.
“Almarhumah sebelum ini mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur tetapi beritahu nak sangat balik ke Terengganu, kemudian dibawa balik dengan kapal terbang TUDM.
“Tidak sampai empat, lima jam di rumah, doktor nasihatkan untuk masukkan ke hospital kembali dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu sejak hari Isnin.
“Bagaimanapun, kesihatannya makin merosot, ada jangkitan paru-paru dan jantungnya lemah serta organ dalamannya banyak yang rosak.
Almarhumah meninggal dunia jam 6.55 pagi tadi (semalam), di sisi ahli keluarga,” katanya.
Jelasnya, Sultan Terengganu, Sultan Mizan perkenan mengadakan tahlil selama tujuh malam di Istana Maziah, bermula kelmarin
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment